Hutang Negara: Kebimbangan Yang Memerlukan Asas

Sidang Parlimen Malaysia telahpun meluluskan had statutori hutang negara kepada daripada 60% ke 65%. Peningkatan had statutori ini dianggarkan akan meningkatkan hutang negara melebihi RM1 Trilion. Jumlah yang besar ini mencerminkan defisit belanjawan tahunan yang besar yang telah dijalankan oleh kerajaan persekutuan, secara berterusan.

Dari Parlimen ke kedai kopi perdebatan mengenai hutang negara ini akan terus menimbulkan kebimbangan. Soalnya sekarang, adakah kita perlu risau tentang saiz hutang kerajaan?

Jawapannya, ya dan tidak. Selagi mana kerajaan Malaysia kekal berfungsi, Lembaga Hasil Dalam Negeri kekal menjadi ketakutan peniaga dan usahawan, kilang dan industri masih dibuka dan kapasiti produktif jangka panjang negara terjamin- tidak ada sebab munasabah untuk kita terlalu risau.

Membayar hutang negara, berbeza dengan membayar hutang peribadi. Hutang negara boleh diuruskan dalam satu jangka masa yang panjang,tanpa had. Berbeza dengan hutang peribadi yang perlu diselesaikan dalam satu tempoh terhad.

Selain kutipan cukai, Bank negara boleh menjual bon kepada pelabur bagi mengimbangi hutang ini. Secara mudah, hutang negara adalah sesuatu yang perlu diuruskan dalam jangka masa panjang bukan diselesaikan sepenuhnya dalam satu-satu masa.

Hutang kerajaan hanya mencerminkan bagaimana sumber kewangan negara diuruskan. Tahap perbelanjaan yang lebih tinggi memerlukan pinjaman yang lebih besar. Ini tidak akan menjadi masalah sekiranya perbelanjaan ini membawa kepada kesejahteraan ekonomi yang memberi pulangan dalam jangka masa panjang.

Kutipan cukai yang lebih tinggi pada masa hadapan boleh digunakan untuk membayar hutang. Sebagai contoh, jika hari ini kerajaan berbelanja untuk menyelamatkan industri pembuatan. Pada masa hadapan apabila industri ini kembali pulih, kutipan cukai akan meningkat dan boleh digunakan untuk membayar hutang.

Jika industri ini dibiarkan musnah atas alasan menjaga hutang. Impak berganda akan memberi kesan kepada rakyat. Kadar pengangguran meningkat, industri sekunder gulung tikar dan akhirnya kerajaan perlu berbelanja lebih untuk menghidupkan semula industri ini.

Sekarang apa yang kita perlu risaukan adalah pengurusan sumber ekonomi. Bagaimana sumber ekonomi yang terhad dibelanjakan dan dikawal oleh kerajaan persekutuan itu yang perlu dirisaukan. Ketelusan dan kebijakan menguruskan sumber inilah yang menentukan masa depan negara.

Kadar hutang yang tinggi, tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerajaan untuk berbelanja demi kepentingan awam. Cabaran pasca pandemik adalah kelangsungan. Sekarang adalah masa untuk menyelamatkan rakyat, masa untuk menyelamatkan industri dan perniagaan, masa untuk menyelamatkan negara.


Ridhuan ialah seorang peminat kopi yang turut meminati isu politik dan ekonomi tanah air. Masih mencari ahli politik yang mahu membangun bangsa, bukan mengkayakan taukey.

1 thought on “Hutang Negara: Kebimbangan Yang Memerlukan Asas”

  1. Zoran Naimovich (Зоран Најмовић)

    Der, saya ingat hutang negara ni sama macam hutang kita tapi rupanya tak sama juga… Mantap lah, der buat posting macam ni! Rasa nak belajar lebih pasal ekonomi kita ni… Maju brader maju!

Leave a Reply to Zoran Naimovich (Зоран Најмовић) Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *