PRN JOHOR 2022: BARISAN NASIONAL MENANG 2/3 MAJORITI?

Ramalan keputusan Pilihan Raya Negeri Johor 2022. Adakah Barisan Nasional akan memenangi 2/3 majoriti dengan sangat mudah?

PENGENALAN

Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan Nasional (PN) selepas Langkah Sheraton terpaksa mengadakan Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) berikutan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kempas, Osman Sapian meninggal dunia. Keadaan ini telah memaksa Kerajaan Negeri Johor yang diterajui UMNO BN membubarkan DUN susulan majoriti di DUN hanya mempunyai kelebihan satu kerusi. 

PRN Johor yang diadakan kali ini telah menyaksikan 239 calon bertanding dari parti-parti politik dan bebas. 10 parti politik telah menawarkan diri untuk menyertai PRN Johor kali ini dengan BN dan PN bertanding di kesemua 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Keadilan, AMANAH dan DAP bertanding di 50 kerusi dengan menggunakan dua logo yang berbeza. AMANAH dan DAP menggunakan logo PH manakala Keadilan menggunakan logo sendiri. MUDA yang diterajui oleh Syed Saddiq pula bertanding di  tujuh kerusi DUN. AMANAH dan DAP memberikan laluan buat MUDA di enam kerusi DUN. Namun begitu, rundingan di antara MUDA dan Keadilan gagal telah menyebabkan kedua-dua parti ini bertembung sesama sendiri di Larkin. Selain MUDA, PEJUANG dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut membuat penampilan sulung dengan bertanding di 42 dan empat kerusi DUN manakala WARISAN membuat penampilan pertama di luar negeri Sabah dengan bertanding di enam kerusi DUN. PUTRA dan PSM turut membuat kemunculan pada PRN dengan masing-masing bertanding di satu kerusi DUN.

CALON-CALON BERTANDING DI 56 KERUSI DUN PRN JOHOR

PRN Johor kali ini menyaksikan hanya tujuh kawasan DUN yang bertarung dalam tiga penjuru. Tiada pertembungan satu lawan satu pada PRN Johor selepas tiga parti utama bertanding di kesemua kerusi DUN termasuk PH yang berkolaborasi dengan Parti MUDA. Biarpun Keadilan terpaksa bertembung di Larkin dengan MUDA dalam pertembungan enam penjuru. Selain Larkin, tiga lagi DUN menyaksikan pertembungan enam penjuru di Bukit Pasir, Maharani dan Puteri Wangsa. Dua DUN menyaksikan tujuh penjuru di Tiram dan Kempas, manakala lapan DUN menyaksikan pertembungan lima penjuru. 35 DUN yang kebanyakannya merupakan kerusi majoriti Melayu hanya menyaksikan pertembungan empat penjuru. 

STRATEGI-STRATEGI PARTI POLITIK

Barisan Nasional di dalam PRN kali ini menawarkan untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor yang stabil selepas mengharungi 24 bulan membentuk kerajaan dengan seteru mereka BERSATU dan PAS yang berada dalam PN. Biarpun, belanjawan Kerajaan Negeri Johor berjaya diluluskan hasil rundingan bersama PH, UMNO tetap goyang di Johor selepas PN mengadakan beberapa siri ugutan untuk menjatuhkan kerajaan bagi memuaskan hawa nafsu politik mereka. Biarpun begitu, BN dan PN tetap membentuk Kerajaan di peringkat pusat biarpun kedua-dua parti ini bercakaran sesama sendiri di peringkat negeri dalam siri kempen-kempen mereka di Johor antaranya dalam isu FELDA dan 1MDB yang melibatkan pimpinan UMNO dari Kluster Mahkamah. BN turut menekankan isu-isu tempatan dan menyerang PH dan PN terutamanya BERSATU yang didakwa tidak mengotakan janji-janji PRU 14 sewaktu berada dalam PH. 

BN mengetengahkan karakter-karakter pimpinan politik yang diterima rakyat khususnya calon MB Johor, Dato Hasni Mohammad bagi meraih pengundi atas pagar yang cenderung untuk mengundi BN. Manakala pemimpin-pemimpin yang dikategorikan oleh pemimpin BERSATU sebagai kluster mahkamah seperti Najib Razak yang terpalit dengan beberapa kontroversi, hanya muncul di kawasan yang mempunyai penyokong-penyokong tradisi dan konservatif bagi menarik pengundi Melayu khususnya.

PARTI-PARTI PEMBANGKANG

Biarpun PH dilihat bertanding menggunakan dua logo yang berbeza, Pakatan tersebut masih mengeluarkan manifesto dan tawaran yang sama apabila berjaya membentuk kerajaan. Strategi PH untuk menggunakan dua logo berbeza dikatakan sebagai strategi parti itu untuk melihat sentimen rakyat bagi menghadapi PRU 15. Namun begitu, strategi ini dilihat oleh pengundi dan pemerhati sebagai perpecahan di dalam PH. Tambahan lagi, rundingan bersama MUDA, diadakan berasingan yang mana AMANAH dan DAP memberi laluan manakala rundingan Keadilan dan MUDA menemui jalan buntu. Di samping itu, parti-parti pembangkang yang lain seperti PEJUANG, MUDA dan WARISAN tidak pernah menyertai PH di peringkat pusat secara rasmi. Hal ini telah mengakibatkan pertembungan empat hingga tujuh penjuru di beberapa kerusi DUN terutamanya di kawasan yang dimenangi PH dan kerusi majoriti pengundi Melayu.

STATUS KERUSI-KERUSI DUN PRN JOHOR

Ramai peramal politik meramalkan yang Barisan Nasional bakal menang besar di dalam PRN Johor kali ini selepas parti-parti pembangkang kalah teruk di Melaka dan Sarawak yang menyaksikan BN dan GPS memperoleh 2/3. Dengan situasi COVID-19, di mana kes harian yang semakin tinggi, bakal menyaksikan trend pengundi jatuh. SPR juga meramalkan sekitar 70% pengundi yang bakal keluar mengundi. Penambahan pengundi akibat UNDI 18 dan pendaftaran automatik menyaksikan penambahan 779,743 pengundi baharu yang secara jumlahnya 2,597,742 pengundi bakal mengundi pada PRN kali ini. Melihat kepada angka-angka ini, parti-parti politik khususnya PN, PH dan parti-parti pembangkang cuba menyasarkan peratusan pengundi yang tinggi. Jika tidak, UMNO menerusi BN dijangka  menang mudah di kerusi-kerusi tradisi dan kerusi majoriti Melayu terutamanya di Pantai Timur. 

KERUSI SELAMAT PAKATAN HARAPAN (PH)

28 kerusi di dalam PRN Johor merupakan kerusi selamat buat PH dan BN. Daripada 14 kerusi selamat PH, 9 sembilan kerusi DUN ini yang terletak dalam kerusi majoriti Cina (lebih 50% pengundi Cina) merupakan kerusi untouchable. Kerusi-kerusi ini dilihat sukar untuk ditembusi oleh BN mahupun PN oleh kerana peratusan pengundi Cina yang tinggi. Biarpun berlakunya, peratusan keluar mengundi yang sedikit, kerusi-kerusi ini dilihat tidak mempunyai kesan dan parti-parti penyandang dilihat dapat mempertahankan kawasan kubu kuat PH. Kerusi-kerusi ini adalah:

  1. Jementah (50.72% Cina) – DAP
  2. Bentayan (73.8% Cina) – DAP
  3. Yong Peng (59.58% Cina) – DAP
  4. Penggaram (59.95% Cina ) – DAP
  5. Mengkibol (61.37% Cina) – DAP
  6. Stulang (54.8% Cina) – DAP
  7. Skudai (64.32%) – DAP
  8. Bukit Batu (57.9% Cina) – PKR
  9. Senai (62.27% Cina) -DAP

Manakala, lima kerusi PH yang selamat dijangka berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi tersebut sekiranya BN berjaya untuk meyakinkan pengundi atas pagar yang mengundi PH tetapi lebih cenderung kepada BN pada PRU 14 ditambah lagi dengan peratusan pengundi yang berkurang. Daripada lima kerusi selamat PH, tiga kerusi merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu di; Simpang Jeram dan Kota Iskandar yang dimenangi oleh Amanah dan Tiram dimenangi oleh Keadilan. Dua kerusi selamat yang dimenangi DAP merupakan kerusi campuran di Johor Jaya dan Perling.

KERUSI SELAMAT BARISAN NASIONAL (BN)

Untuk 14 kerusi selamat BN pula, sembilan daripadanya merupakan kerusi untouchable. Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi yang mempunyai lebih 60% pengundi Melayu. Kerusi-kerusi ini secara majoritinya terletak di kawasan Pantai Timur di Johor yang mempunyai penempatan FELDA yang merupakan fixed deposit UMNO/BN. Kerusi-kerusi ini adalah:

  1. Sri Medan (90.27% Melayu) – UMNO
  2. Semarang (86.23% Melayu) – UMNO
  3. Rengit (82.59% Melayu) – UMNO
  4. Panti (78.43% Melayu) – UMNO
  5. Pasir Raja (69.6% Melayu) – UMNO
  6. Penawar (98.36% Melayu) – UMNO
  7. Tanjung Surat (79.71% Melayu) – UMNO
  8. Benut (81.63% Melayu) – UMNO
  9. Pulai Sebatang (60.71% Melayu) – UMNO

Lima kerusi selamat BN dijangka mempunyai masalah berikutan tiga daripada kerusi itu merupakan kerusi BERSATU (ADUN penyandang melompat selepas PRU 14) yang terletak dalam Parlimen Kota Tinggi (Endau, Sedili dan Johor Lama). Dua lagi kerusi yang ditandingi oleh MIC di Tenggaroh dan Kahang, dijangka berdepan dengan saingan PN yang meletakkan calon Melayu. Isu sentimen kaum di kawasan ini sangat tinggi telah menyebabkan majoriti BN dalam PRU 14 berkurang. Kedua-dua kawasan ini mempunyai peratusan pengundi Melayu yang tinggi dengan 73% hingga 83%.

KERUSI-KERUSI MARGINAL

28 kerusi DUN di PRN Johor merupakan kerusi marginal di mana, mana-mana parti yang bertanding mempunyai peluang untuk menang. Kerusi-kerusi ini mempunyai keupayaan untuk berlakunya swing dan bertukar tangan dari parti A ke parti B. Dalam PRU 14 yang lalu, kerusi-kerusi marginal ini dimenangi oleh parti-parti penyandang dengan peratusan 0.3% hingga 15%. Kerusi-kerusi yang dimenangi BERSATU juga dalam PRU 14 dilabel sebagai kerusi marginal biarpun memenangi majoriti lebih 15% yang mana parti tersebut bertanding atas tiket Keadilan (PH). 

23 kerusi marginal merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu yang mana, enam kerusi dimenangi oleh BN, 17 dimenangi oleh PH dalam PRU 14. Daripada 17 kerusi tersebut, sembilan kerusi masih lagi milik PH. Lapan kerusi  merupakan kerusi BERSATU yang mana DUN Pemanis dimenangi oleh calon PKR yang kemudiannya melompat ke BERSATU selepas Langkah Sheraton. Dengan BERSATU keluar dari PH dan membentuk PN, undi Melayu yang diperoleh PH dijangka pecah dan memberi kelebihan buat BN. Keadaan ini bakal menyebabkan banyak kerusi-kerusi Melayu yang dimenangi PH pada PRU 14 dijangka dapat dirampas semula oleh BN atau dimenangi oleh PN.

Empat kerusi campuran yang dimenangi oleh PH pada PRU 14 di Tangkak, Tenang, Puteri Wangsa dan Paloh, dijangka menjadi rebutan ketiga-tiga parti utama sehingga saat akhir. Faktor-faktor penambahan pengundi di ketiga-tiga DUN ini juga bakal memberi kesan sokongan terhadap parti-parti yang bertanding. Faktor pengundi yang tidak keluar mengundi terutamanya pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu dijangka memberikan kelebihan buat BN di kerusi-kerusi PH dan PN.

RAMALAN KERUSI DUN PRN JOHOR

Dengan mengambil kira dua senario; lebih 80% keluar mengundi dan kurang 70% keluar mengundi, penambahan pengundi dan kerusi mengikut kaum, situasi DUN tergantung sekiranya lebih 80% pengundi di mana BN memenangi 23 kerusi, PH 21 kerusi, PN 11 kerusi dan MUDA 1 kerusi. Keadaan ini bakal menyaksikan BN terpaksa untuk membentuk kerajaan sama ada bersama PH atau PN untuk mendapat majoriti mudah iaitu 29 kerusi. 

Untuk situasi kurang 70% pengundi keluar mengundi, BN diramal menang 2/3 di DUN Johor dengan BN memperoleh 39 kerusi manakala PH, 12 kerusi dan PN lima kerusi. 

Share:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on reddit

ARTIKEL LAIN

Ending The Ultra-Poverty

The COVID-19 has forced a spike in the extreme poverty rate, either nationally or globally. Due to the pandemic, the national rate of poverty increased from 5.6 percent in 2019 to 8.4 percent in 2020.

There is a dire need for a new framework to view the problem of poverty.

Sofiya Tamizi attempts to bring the new framework into the discussion – the Multidimensional Poverty Index.

Hutang Negara: Kebimbangan Yang Memerlukan Asas

Sidang Parlimen Malaysia telahpun meluluskan had statutori hutang negara kepada daripada 60% ke 65%. Peningkatan had statutori ini dianggarkan akan meningkatkan hutang negara melebihi RM1 Trilion.

Persoalannya sekarang, adakah kita perlu risau tentang saiz hutang kerajaan?

Ridhuan menjawab persoalan tersebut, dan menyatakan keperluan untuk membezakan bagaimana kita melihat hutang negara dan hutang peribadi.

Pemerintah Punca Ketidakadilan

Konsep Keluarga Malaysia yang dicanang Perdana Menteri sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 mesti diperjelaskan dengan tindakan menyeluruh. Konsep ini mirip dengan konsep 1Malaysia yang pernah diterapkan Perdana Menteri ke-6.

Zamier membangkitkan persoalan tentang sejauh manakah konsep ini berjaya diterjemah dalam hidup rakyat dari sudut keadilan sosial?