Pemerintah Punca Ketidakadilan

  • by

Konsep Keluarga Malaysia yang dicanang Perdana Menteri sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 mesti diperjelaskan dengan tindakan menyeluruh. Konsep ini mirip dengan konsep 1Malaysia yang pernah diterapkan Perdana Menteri ke-6 yang mahu seluruh rakyat Malaysia tanpa berbilang kaum dan agama hidup sepayung sebagai Keluarga Malaysia. Namun, sejauh manakah konsep ini berjaya diterjemah dalam hidup rakyat dari sudut keadilan sosial?

Keadilan atau adil ialah suatu tindakan yang meletakkan sesuatu pada tempatnya manakala lawan kepada adil ialah zalim dan penindasan. Adil juga seringkali difahami mudah dengan prinsip kesamarataan dan hak sepatutnya seseorang itu miliki. Menurut undang-undang, adil itu ialah hak seseorang yang mesti diperoleh dan undang-undang menjadi instrumen dalam menjamin keadilan masyarakat. HAMKA dalam karyanya berjudul Falsafah Hidup membicarakan perihal keadilan dengan memecahkan ia kepada tiga perkara iaitu persamaan, kemerdekaan dan hak milik. Analogi prinsip persamaan ialah manusia bernafas menggunakan gas yang sama iaitu oksigen dan secara permukaannya, setiap manusia harus mempunyai keperluan hidup yang sama dan ini juga termasuk hak yang sama di sudut undang-undang. Kedua, prinsip kemerdekaan iaitu setiap manusia yang berada di bawah suatu pemerintahan manusia hendaklah bebas atau merdeka daripada segala jenis penindasan.

Kemerdekaan manusia itu termasuklah kebebasan seseorang itu mengkritik salah laku dan kelembapan sistem pemerintah serta mereka dijamin tidak akan dihukum atas kepercayaan kepada prinsip kemerdekaan. Hal ini kerana, untuk mencapai keadilan sosial dalam kerangka besar, keadilan kepada seseorang individu mesti dicapai terlebih dahulu seperti kesediaan pemerintah menerima kritikan tanpa berselindung di sebalik nama polis dan undang-undang demi mengawal suara masyarakat. Prinsip ketiga ialah hak milik iaitu setiap ahli masyarakat dijamin hak miliknya ke atas hartanya. Sistem feudal adalah contoh yang telah menggugat hak keadilan individu dimana kuasa diberikan ke atas raja dan tuan tanah untuk mengambil tanah rakyatnya tanpa boleh dipersoalkan.

Selain itu, keadilan juga adalah satu tuntutan besar dalam agama dan juga penting dalam hidup bergelar manusia untuk melaksanakan keadilan. Kegagalan memelihara dan melaksanakan keadilan akan berakhir dengan penindasan. Christopher Gregory Weeramantry, seorang bekas hakim dan Naib Presiden International Court of Justice pernah mengatakan bahawa Islam menempatkan keadilan dalam kalangan nilai-nilai penting yang tertinggi manakala lawan bagi keadilan ialah penindasan dan dari penindasan akan timbulnya kekacauan sosial. Antara contoh yang boleh diberikan ialah sistem apartheid di Afrika yang bersifat diskriminasi terhadap masyarakat berkulit hitam dimana masyarakat kulit putih berasakan superior lalu bebas melakukan apa sahaja. Selepas berlaku penindasan, revolusi masyarakat memburu keadilan akan timbul. Hal ini kerana fitrah manusia adalah cintakan yang cantik-cantik seperti kebebasan, keadilan dan keharmonian.

Persoalan yang timbul adalah adakah kerajaan yang sedang memerintah ini benar-benar bersedia untuk memayungi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan berbeza agama?

Di Malaysia, adil dalam masyarakat Malaysia ini diterjemahkan oleh sekelompok manusia yang tersekat mindanya dengan kontrak sosial dan juga soal ketuanan yang mesti dihormati. Masyarakat Melayu sebagai masyarakat majoriti berbangga dengan ketuanannya namun tidak mampu berbangga dengan kemajuan dan kecerdikan pemimpin Melayu. Jika ada bangsa lain menuntut haknya sebagai warganegara untuk mengecapi kemudahan setara, maka mereka akan dianggap rasis dan semakin melampau. Ironinya ialah pemimpin yang jahil memimpin negara ini dengan menerapkan kebebalan dan akhirnya mewujudkan colonisibilite atau masyarakat berminda terjajah dan mudah terpengaruh dengan kata-kata politikus.

Antara kebebalan yang diterapkan ialah retorik demi agama dan bangsa. Retorik ini telah menebalkan lagi kedunguan masyarakat Melayu terutamanya untuk menerima bangsa lain sebagai keluarga Malaysia. Retorik ini telah memisahkan masyarakat Malaysia dan terus menyebabkan ketidakadilan dalam pembangunan setiap kaum serta ketidakseimbangan politik dan ekonomi. Pemain retorik agama dan bangsa memukau pengikutnya dengan berfaktakan bahawa parti mereka perlu berkuasa agar masyarakat Melayu sebagai etnik majoriti kekal terbela keistimewaannya manakala etnik-etnik lain perlu menghormati bangsa utama ini berdasarkan kontrak sosial. Mereka cuba mengasingkan-asingkan serta mempermainkan isu sensitif seperti hak keistimewaan Melayu seolah-olah bangsa lain tidak mempunyai hak. Namun begitu, dengan keistimewaan yang dibela, orang Melayu tetap terkebelakang manakala etnik-etnik lain sentiasa ke hadapan dan sudah ke hadapan walaupun tidak mengecapi jaminan keistimewaan. Bukankah ini juga suatu kegagalan terhadap masyarakat Malaysia dan juga “Keluarga Malaysia” apabila keistimewaan dicanang masih gagal dan ketidakseimbangan pembangunan kaum masih berlaku?

Namun begitu, konsep adil dalam masyarakat Malaysia tidak sewajarnya dihadkan kepada hak-hak masyarakat majoriti dengan masyarakat lain di tanah air ini. Hal ini kerana masyarakat Malaysia itu merangkumi variasi latar belakang individu dan masyarakat secara majoritinya tidak mempunyai masalah untuk hidup dalam kepelbagaian masyarakat. Toleransi dan sikap hormat-menghormati masyarakat masih tebal dan wujud. Sejarah juga merekodkan bahawa tuntutan kemerdekaan negara adalah atas solidariti masyarakat Tanah Melayu bersama pemimpin berbilang bangsa. Permasalahannya sekarang adalah sikap tidak bertanggungjawab pemerintah dan politikus yang meniup api perkauman yang telah memecahkan keharmonian hidup masyarakat. Hal ini kerana sosial itu merangkumi kehidupan seharian masyarakat termasuklah soal-soal kritikal seperti pembahagian untung negara, pendapatan minima rakyat dan takdir masyarakat disamping pembangunan material.

Semasa Tanah Melayu ini dijajah, British telah memperkenalkan dasar pecah dan perintah. Ia merupakan dasar yang telah mengasingkan kaum di Tanah Melayu mengikut kegiatan ekonomi. Misalnya, kaum Cina tinggal di kawasan bandar dan menguruskan aktiviti perlombongan sebagai aktiviti memacu ekonomi dan kaum India terhad kepada aktiviti perladangan diluar bandar. Bagi orang Melayu pula, hanya elit Melayu sahaja yang diterima bekerja di pejabat British. Kesannya, jurang interaksi antara kaum memburuk dan yang membarah ketika itu ialah ketidakseimbangan pembangunan sosial. Hal ini kerana, penjajah tidak memikirkan nasib masyarakat Tanah Melayu untuk beberapa tahun ke depan. Mereka jajah tanah ini dan mengeksploitasi tenaga manusia dan sumber bumi demi kepentingan mereka. Ya lah, namapun penjajah…

Pasca 64 tahun merdeka tanah air ini dan sudah 58 tahun Malaysia tertubuh, dasar sistem pecah dan perintah masih wujud yang diamalkan penjajah moden bersongkok, berserban dan bangga dengan nama parti Melayu dan Islam. Penjajah moden ini berselindung disebalik nama perjuangan bangsa dan agama untuk mejarah hasil bumi serta memenuhkan tembolok mereka. Pelbagai dasar ekonomi direncana untuk jangka masa panjang dan pendek bagi memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia serta demi memelihara keseimbangan sosial. Namun begitu, kesenjangan ekonomi masih berlaku. Kononnya pemimpin yang kuat bermain dengan retorik agama dan bangsa mampu mengeluarkan masyarakat Melayu khususnya dari dibelenggu kemiskinan serta merapatkan jurang ekonomi Melayu dengan masyarakat lain. Akan tetapi apa yang berlaku ialah jurang ekonomi antara masyarakat Melayu dan masyarakat lain semakin melebar dan jurang ekonomi antara masyarakat Melayu atasan dan bawahan sendiri juga kian meruncing. Apakah dan dimanakah silapnya?

Silapnya adalah pada pemerintah. Dasar negara adalah tidak mencapai kepada dasarnya atau akarnya malah ia hanya merupakan dasar untuk segolongan manusia. Dasar negara sepatutnya top to bottom, bottom to top. Setiap individu, badan atau syarikat akan menerima manfaat terhadap dasar yang holistik dan komprehensif. Jika yang bawah dicukai dengan peratus sedemikian, yang atas yang lebih berpendapatan tinggi mesti dicukai dengan lebih tinggi bagi menjamin keadilan.

Namun apa yang berlaku ialah dasar negara bersifat top for top, bottom for top. Dasar dari atas untuk yang di atas, dan yang bawah mesti memastikan ia berjaya untuk kejayaan si atas. Tamsil mudahnya ialah harga ayam di bawah kerajaan Keluarga Malaysia ini. Ayam merupakan makanan asas masyarakat Malaysia dan ia sepatutnya mudah dan berpatutan untuk dibeli tetapi harga ayam yang naik berkali ganda tanpa kawalan hanya dijawab dengan persalahkan harga anak ayam yang semakin naik. Ini yang perlu dikaitkan bahawa dasar negara itu perlu top to bottom, bottom to top dimana harga ayam tidak hanya dikawal di peniaga ayam di pasar atau pasaraya. Harga ayam ini perlu dikawal dari dasarnya iaitu harga dedak, harga telur dan juga harga baka atau anak ayam. Jika harga ayam hanya dikawal di atas namun pada dasarnya tidak dikawal, maka yang “sakit” adalah penjual kerana untungnya dikawal dan rata-rata penjual ayam adalah peniaga kecil di pasar segar atau pasar borong. Setiap pihak dalam supply chain tersebut perlu dikawal. Isu harga ayam dan harga barangan asas lain yang naik melambung adalah perkara yang mendukacitakan untuk Keluarga Malaysia yang dicanang. Akhirnya, menteri jaga ayam mengatakan bahawa harga ayam turun kerana konsep Keluarga Malaysia yang kian menampakkan hasil. Walaubagaimanapun, ini adalah asas kegagalan dasar dibawah pemerintahan sekarang ini. Jika ia benar-benar keluarga Malaysia, pemerintah tidak akan membenarkan perut rakyatnya berbunyi laksana seorang ayah dalam keluarga tidak akan membiarkan anak-anaknya kelaparan.

Perkaitan dasar pecah dan perintah penjajah dengan dengan konsep Keluarga Malaysia yang merupakan naratif Perdana Menteri Malaysia ke-9 ialah dasar negara yang dirangka hanya untuk memenuhi tembolok menteri dan kroni-kroni. Penjajah moden mengasing-asingkan masyarakat Malaysia melalui dasarnya. Benar, suatu dasar itu dirangka bertujuan untuk menjamin kelansungan Melayu dan bumiputra kerana bangsa ini bangsa yang tertinggal dalam segenap aspek. Namun, sejauh manakah kejayaan dasar yang pernah dirangka untuk mengeluarkan masyarakat majoriti ini daripada belenggu kemiskinan dan rantaian kesusahan dek kerana ketidakadilan pemerintah?

Tambahan lagi, kelemahan dan ketidakmampuan dasar kerajaan yang jauh dari sifat holistik dan komprehensif untuk semua kaum di Malaysia cuba ditutup dengan naratif Keluarga Malaysia. “Walaupun gagal, kita tetap keluarga dan keluarga itu akan tetap menyokong yang gagal.” Beberapa bulan lepas, sebilangan masyarakat terbuai dengan gelaran “Abah” terhadap Perdana Menteri ke-8. Walaupun beliau didapati gagal mengawal kerajaan dan juga lemah polisi serta tidak mampu mengurus krisis negara, masyarakat terbuai itu masih mengilai-ngilai dengan panggilan Abah. Kononnya, seseorang abah itu tidak akan membiarkan keluarganya mati dan juga merempat kebuluran. Inilah naratif yang telah dibenam dalam kebenakan pemikiran orang Melayu untuk mengagungkan pemimpin yang menjarah dan menjajah hidup mereka. Akhirnya, yang digilai Abah dan Pak Long itu bergaji puluhan ribu sebulan dan yang bawah ini masih terkial-kial memanjat tangga sosial dengan meminta gaji minima dinaikkan.

Setakat ini masyarakat Malaysia hanya disagu hatikan dengan bantuan one-off yang hanya bersifat bantuan dan jauh sekali dapat membantu masyarakat Malaysia khususnya Melayu dan Bumiputra keluar daripada kepompong kemiskinan. Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan baru-baru ini juga masih samar dan tidak yakin untuk menjamin kelangsungan masyarakat Malaysia lima tahun mendatang. Dari sini, masyarakat perlu sedar bahawa memilih kerajaan bukanlah pada kemampuan kerajaan itu menyajikan bantuan kewangan yang berkala tetapi tidak mempunyai hala tuju mahupun dasar yang holistik buat negara. Pilihlah kerajaan yang mampu menyediakan dan merangka dasar negara yang dapat memberi manfaat buat seluruh warga masyarakat.

Jika suatu dasar itu baik dan bersifat komprehensif, maka segenap lapisan masyarakat mampu mengecapi manfaatnya. Masyarakat juga perlu faham bahawa individu yang tidak ber “bin” kan Ismail, Najib, Zahid, Tengku Adnan dan yang bukan bercucu Mahathir atau Daim adalah bukan keluarga Malaysia. Sebaliknya, keluarga yang mempunyai tali darah nama-nama itu adalah keluarga yang sedang memerintah dan menghisap darah masyarakat Malaysia. “Keluarga Malaysia” hanyalah alat menutup kelemahan dan kelembapan memerintah serta slogan penjajah yang mengenakkan telinga para pencandu retorik agama dan bangsa untuk terus menjajah dan mejarah tanah air ini. Kita dapat lihat bahawa banyak lantikan politik yang berkait dengan salur kekeluargaan ahli politik kerajaan di bawah kerajaan Keluarga Malaysia ini manakala marhaen masih berebut mencari pekerjaan lebih-lebih lagi semasa pandemik ini.

Jika dirujuk kembali kepada prinsip persamaan yang digariskan HAMKA pada awal tulisan ini, kita semua ini mempunyai persamaan dan tiada yang membezakan kita pada dasarnya. Namun, dengan hikmah manusia dicipta dengan akal, maka setiap daripada manusia akan sentiasa berusaha memajukan diri dengan memanfaatkan akal. Disebabkan itulah adanya yang menjadi pintar, buruh, majikan, petani dan bangsawan. Walaupun ada tingkatan sosial ini, ia masih menjadi tanggungjawab pemerintah untuk merangka dasar negara yang adil serta menyediakan kemudahan yang bermanfaat tanpa mengira latar belakang seperti pendidikan yang baik dan perumahan yang mampu milik. Jika persamaan asas kehidupan masyarakat mampu dijamin pemerintah, maka pemerintah tidak akan khuatir dengan kebebasan masyarakat kerana hak-hak peribadi mereka terjaga.

Oleh itu, kehidupan masyarakat di bawah keluarga Malaysia perlu diinsafi bahawa adakah keluarga tersebut merangkumi kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia atau sebuah keluarga elit politik. Setakat hari ini, keluarga Malaysia tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat bawahan melainkan elit-elit penguasa yang sedang makan besar di bawah naungan keluarga Malaysia. Akhirnya, keluarga Malaysia itu tidak akan berjaya tanpa keadilan kerana keadilan itu suatu kewajipan yang mesti digapai walaupun sesukar manapun. Tanpa keadilan, tanahair akan menjadi kucar-kacir.


Birr Zamier ialah seorang yang suka gigit pensel sambil berfikir semasa sekolah rendah tapi sekarang rasa lagi nikmat gigit kuaci sambil berfikir serta tidak suka meminta kertas tambahan semasa peperiksaan sebagai tanda sayang akan bumi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *