Kemiskinan dan Pola Pemikiran Masyarakat

  • by

Asasnya, pola pemikiran atau sinonim dikenali sebagai mindset adalah bagaimana cara berfikir atau tanggapan seseorang individu terhadap sesuatu. Mengapa pola pemikiran ini sangat penting? Jelas, kerana hampir sebahagian besar keputusan yang dibuat kebiasaannya akan dipengaruhi oleh pola pemikiran yang dipercayai terbentuk atas dasar beberapa faktor tertentu misalnya persekitaran sosial (1), pegangan agama (2), sikap (3), nilai (4), serta budaya (5).

Branscombe dan Robert A. Baron dalam buku berjudul Social Psychology pula menyebut bahawa antara dua hal lain yang mempengaruhi cara berfikir dan tingkah laku manusia adalah keadaan persekitaran sosial dan fizikal itu sendiri. Sebagai contoh, persekitaran sosial yang menghimpit seperti tekanan dan kemiskinan hidup, masalah kekeluargaan, ketiadaan peluang pekerjaan, peningkatan kos sara hidup dan seumpamanya – maka itulah antara yang dipercayai berupaya membentuk satu corak sistem nilai yang akan mengatur pola fikir dan corak perlakuan individu.

Apabila membincangkan soal kemiskinan, ada banyak tanggapan serta persepsi masyarakat yang berbeza-beza terhadap bagaimana mereka memandang nilai kemiskinan. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ternyata bersetuju apabila dikatakan bahawa sikap dan pendirian manusia itu sendiri sememangnya menjadi antara faktor terbesar terhadap masalah kemiskinan. Persoalannya, apakah bentuk-bentuk pola pemikiran yang terkait dengan kemiskinan?

Terdapat segelintir masyarakat kita yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap orang susah. Antara tanggapan yang seringkali kita dengar adalah miskin kerana malas, miskin kerana tidak bertanggungjawab, mahupun miskin kerana terlalu memilih pekerjaan. Hakikatnya, jumlah jam orang-orang miskin bekerja adalah lebih tinggi secara purata, namun disebabkan oleh kos pendapatan mereka rendah, maka gaji mereka pun kekal rendah. Secara prinsip, tiada seorang pun yang bekerja sepenuh masa patut kekal berada dalam kemiskinan.

Pertama; Sikap Golongan Yang Mensucikan Kemiskinan

Umpama mengambil jalan hidup persis seperti paderi, terdapat segolongan manusia yang dapat dimengerti zuhud sifatnya, lalu menyeru masyarakat ke arah tasawwuf dan taqasshuf. Melalui konteks Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, golongan ini difahami sebagai orang-orang yang memakai pakaian yang buruk dan kotor, justeru mengatakan bahawa kemiskinan bukanlah satu keburukan yang harus dihindari atau masalah yang perlu diselesaikan.

Sejarah turut menceritakan pemahaman seperti ini juga terdapat dalam sesetengah agama paganism atau agama samawi, bahkan dalam ajaran Manicheanisme daripada Parsi. Mereka mengagung-agungkan kemiskinan malah mensucikannya kerana melihat bahawa kemiskinan boleh membawa kepada penderitaan, dan penderitaan lah yang mendorong kepada ketaatan yang meningkatkan semangat rohaniah mereka.

Kedua; Sikap Golongan Aliran Fatalisme

Berbeza dengan golongan pertama yang mensucikan kemiskinan dan melihat kemiskinan sebagai satu kemuliaan, golongan yang kedua ini adalah sebaliknya; yakni golongan ini menilai kemiskinan sebagai keburukan dan malapetaka.

Ironinya, golongan kedua untuk memahami kemiskinan dari konteks yang salah, iaitu dengan beranggapan kemiskinan itu takdir Tuhan yang tidak boleh diubati dengan sebarang ubat apa sekalipun. Justeru, penyelesaian mahupun jalan keluar daripada kemiskinan yang seringkali dikemukakan oleh golongan kedua ini hanyalah berupa nasihat-nasihat kepada orang-orang miskin. Pesan-nasihat yang berbunyi seperti ‘Terimalah kemiskinan sebagai takdir hidup’ ini hakikatnya hanyalah memundurkan orang-orang miskin serta mempengaruhi pola pemikiran mereka sehingga mereka meyakini bahawa tiada solusi kepada kemiskinan.

Pola pemikiran masyarakat terhadap kemiskinan sebetulnya turut terkait dengan realms of behavior – Socioeconomic Status (SES) yang dipengaruhi oleh tiga elemen berbeza; Tahap pendidikan (1), tahap pendapatan (2) dan jenis pekerjaan (3). Kenneth A. Dodge dalam satu kajian beliau mengenai SES merumuskan bahawa SES yang rendah mempunyai perkaitan dengan proses pengsosialisasian dalam konteks sosial yang mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia.

Maka apa yang perlu difahami adalah isu kemiskinan merupakan sesuatu yang kompleks. Pakar ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid menyebut bahawa langkah pertama untuk menyelesaikan isu kemiskinan adalah dengan tidak melabelkan orang miskin itu malas secara generalisasi, dan berhenti daripada terus-menerus menidakkan realiti ketidaksamarataan khususnya dari aspek sistem pengagihan ekonomi yang tidak adil.

Dr. Anas Alam Faizli menyebut ramai orang yang tidak berhak menjadi miskin disebabkan oleh usaha dan kerja keras mereka, sepertimana juga ramai orang yang tidak layak menjadi kaya. Masyarakat kita perlu ditanam dengan pemikiran yang baru bahawa tidak semua kemiskinan itu hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan tidak juga semua kekayaan itu disebabkan oleh usaha dan penat lelah.

Tanpa menafikan hakikat semasa yang sememangnya ada, kita menyedari bahawa memang ada segelintir golongan miskin yang seakan-akan merasa selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.

Bagi golongan yang pertama, iaitu mereka yang memuliakan kemiskinan, ketahuilah sia-sia sahaja jika kita meminta orang-orang seperti ini untuk mengemukakan jalan penyelesaian bagi masalah kemiskinan, kerana mereka sendiri tidak melihat kemiskinan sebagai satu masalah yang harus diselesaikan.

Jangan menyuruh orang-orang miskin untuk berpuas hati dengan nasib kemiskinan mereka. Sekalipun golongan ini terpaksa mencuri dan kita mengerti tindakan itu satu jenayah, tetapi untuk menghukum orang miskin yang sedang dalam kelaparan juga adalah ‘jenayah’ kemanusiaan.


Sofiya Tamizi ialah seorang pemain tenis amatur yang ada masanya meletakkan raket dan mengangkat pena. Suka baca buku, tapi bukan ‘nerdy bookworm’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *