Malaysia In A Political Deadlock – Part 3 Pecutan Akhir Ahli-Ahli Politik

  • by

Muhyiddin sudah tumbang. Secara zahirnya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 Ogos 2021 sudah tidak punyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. 116 ahli-ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang termasuk 11 daripada UMNO, telah menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin Yassin. Persoalannya sekarang, bagaimana negara mahu mara ke hadapan atas faktor tiada parti-parti politik di negara ini mempunyai majoriti jelas untuk membentuk kerajaan. Secara matematiknya, tiada parti yang jelas mempunyai majoriti diperlukan iaitu 112 kerusi. Dengan keadaan situasi pandemik COVID-19 sekarang, sudah tentu, YDPA tidak akan memperkenankan untuk membubarkan parlimen bagi parti-parti politik mendapatkan mandat baharu yang lebih meyakinkan.

 

Confidence and supply Jalan Akhir Untuk Tamatkan Kemelut Politik Negara

Untuk menamatkan kemelut politik negara hari ini, ia memerlukan kebijaksanaan YDPA sebagai Ketua Umum negara mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan ultimatum term kepada ahli-ahli politik bagi mengembalikan negara ke landasan sebenar. Untuk membentuk sebuah coalition government ataupun unity government pada hari ini amatlah sukar dengan kita sudah menyaksikan Kerajaan Perikatan Nasional yang tertubuh atas gabungan BERSATU, PAS dan Barisan Nasional mula menunjukkan tidak-tentuan politik.

Bagi menyelesaikan masalah yang berlaku pada hari ini, YDPA perlu memanggil parti politik yang mempunyai kerusi yang paling banyak di dalam Dewan Rakyat pada hari ini untuk membentuk Kerajaan Minoriti. Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 89 kerusi layak untuk membentuk kerajaan atas faktor mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat. Tapi bagaimana nak bentuk Kerajaan dengan 89 kerusi? Tidakkah goyah Kerajaan Pakatan Harapan nanti? Disinilah bagaimana YDPA selaku Ketua Umum Negara boleh memainkan peranan untuk memberikan pandangan kepada pemimpin parti-parti politik yang ada untuk memberikan Confidence and Supply kepada calon Perdana Menteri dari PH.

Apa itu Confidence and Supply?

Confidence and Supply dengan kata lain sebuah parti politik itu hanya perlu mendapatkan persetujuan daripada parti lain untuk menyokong atau memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam pengundian di Dewan Rakyat bagi. meluluskan sesuatu usul atau rang undang-undang perbekalan. Keadaan ini bagi memastikan Kerajaan yang dilantik kelak, tidak disingkirkan apabila gagal mendapatkan majoriti di dewan rakyat. Namun begitu, situasi ini amatlah sukar atas faktor parti-parti politik yang ada pada hari ini tidak akan mengorbankan kepentingan politik masing-masing.

Jadi, disinilah peranan YDPA dalam memberikan ultimatum term kepada mana-mana parti politik yang dirasakan boleh bekerjasama dengan PH seperti PEJUANG, WARISAN, PSB dan GPS. PH juga perlu meyakinkan parti-parti ini untuk memastikan mereka bersetuju dengan hala tuju Kerajaan baharu yang hendak di bawa. Antaranya adalah, menyelesaikan masalah pandemik COVID-19 dan membubarkan parlimen dalam kadar segera sekiranya keadaan dan situasi kembali tenang.

Kerajaan Minoriti Parti Conservative Pimpinan Theresa May di UK

Di United Kingdom, Parti Conservative pimpinan Theresa May tidak mempunyai majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan di House of Common. Parti Conservative hanya memenangi 317 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2017 dan kekurangan 9 kerusi bagi mendapat 326 kerusi di House of Common. Akhirnya Parti Conservative mendapatkan persetujuan daripada Parti DUP untuk memberikan Confidence and Supply bagi membentuk sebuah Kerajaan Minoriti.

Antara persetujuan yang diperolehi adalah:

Parti DUP akan menyokong Usul Percaya terhadap PM Theresa May, Ucapan Diraja, Belanjawan dan segala usul mengenai perbekalan, keselamatan negara dan mengenai Brexit.

Antara poin-poin persetujuan tambahan adalah:

1)         Komitmen berterusan Parti Konservatif kepada Union of Great Britain dan Ireland Utara.

2)         Sasaran perbelanjaan pertahanan 2% UK akan terus dicapai, sesuai dengan kehendak NATO.

3)         Bantuan tunai untuk petani akan kekal pada tahap semasa sehingga pilihan raya berikutnya.

4)         Kedua-dua parti bersetuju untuk mematuhi Perjanjian Good Friday.

5)         Tiada pungutan suara atau referendum mengenai masa depan status perlembagaan Ireland Utara diadakan tanpa “persetujuan rakyat”.

6)         Komitmen DUP untuk berusaha ke arah pembentukan Eksekutif Ireland Utara yang baharu; dan komitmen Kerajaan UK untuk bekerjasama dengan pihak Ireland Utara dan kerajaan Ireland untuk mencapai objektif ini.

7)         Pelaksanaan Perjanjian Angkatan Bersenjata di Ireland Utara

Namun, dengan kelemahan pimpinan Theresa May, beliau akhirnya meletakkan jawatan dan Boris Johnson mengambil alih tampuk pemerintahan dalam masa 2 tahun. Boris membubarkan Parlimen dan mendapatkan mandat baharu pada Pilihan Raya Umum 2019. Sehingga hari ini, Kerajaan Boris Johnson kekal utuh dengan mandat baharu dan membawa negara itu keluar dari kemelut Brexit.

Secara realitinya, untuk situasi pada masa kini, PH sememangnya layak untuk dipilih sebagai Kerajaan Minoriti bagi menghadapi Pandemik COVID-19 atas faktor parti tersebut mempunyai sokongan teramai di Dewan Rakyat. Selepas itu, PH perlulah membubarkan parlimen bagi mendapatkan mandat baharu agar sebuah kerajaan yang lebih stabil dapat dibentuk secara sah. Akhirnya, untuk memastikan demokrasi berjalan dengan baik, sesebuah kerajaan itu perlulah menjadi GOVERNMENT OF THE PEOPLE, BY THE PEOPLE, FOR THE PEOPLE.

Bila situasi tenang, berentaplah dalam pilihan raya dan kembalikan mandat pada rakyat.


Kamal Rafza merupakan graduan Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi di sebuah Universiti Awam di Malaysia. Beliau juga seorang penganalisis politik Malaysia dan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *