MALAYSIA IN POLITICAL DEADLOCK – PART 2 PERANG PDF

  • by

(Versi Bahasa Melayu)

Pada Isnin yang lalu (26 Julai 2021), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 oleh Kabinet PN yang terdiri daripada BERSATU, PAS serta UMNO. Kekeliruan tersebut telah menyebabkan perjalanan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat telah terganggu dengan asakan ahli-ahli Dewan Rakyat (MP) diketuai oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Kenyataan Takiyuddin tersebut telah menyebabkan kekeliruan di kalangan MP pembangkang termasuk UMNO telah mendapat perhatian Istana Negara. Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media bagi menegur kabinet pimpinan Muhyiddin Yasin serta menzahirkan dukacita YDPA atas kenyataan Takiyuddin. Titah YDPA menerusi kenyataan media Istana Negara tersebut telah menyebabkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditangguhkan selepas beberapa kali Timbalan Speaker keluar masuk dewan pada Khamis lalu bagi mendapatkan respons Speaker, Azhar Harun. 

Akhirnya mesyuarat tersebut ditangguhkan ke hari Isnin atas faktor terdapat kes COVID-19 di parlimen atas nasihat DG Kesihatan dan bermulalah Perang PDF di antara Perdana Menteri dan Istana serta pimpinan parti-parti politik. 


Perang PDF Pertama – Usul Tidak Percaya Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat

Sejurus sahaja, Istana Negara mengeluarkan titah YDPA, Anwar Ibrahim pantas untuk mengeluarkan PDF yang pertama bagi mengusulkan Undi Tidak Percaya untuk Muhyiddin Yasin meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri. Usul tersebut telah membuka ruang kepada pembangkang untuk menguji jumlah sokongan yang diperolehi Muhyiddin untuk kekal berkuasa.

  • Image


Perang PDF Kedua – Zahid Hamidi Desak Muhyiddin Letak Jawatan!

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi turut mengeluarkan kenyataan sejurus sahaja kenyataan Istana Negara diketahui umum dengan meminta Muhyiddin dan Takiyuddin meletakkan jawatan. Beliau turut meminta agar MP-MP UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin selaras dengan keputusan MKT dan memelihara serta membela Institusi Raja-Raja Melayu.


Perang PDF Ketiga– Ismail Sabri Dakwa Muhyiddin punyai sokongan lebih 110  MP dan 40 MP BN bersama Muhyiddin

Perikatan Nasional (PN) dilihat menghantar Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri (Orang Nombor Dua Dalam Kerajaan) untuk mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa Kerajaan masih mempunyai sokongan melebihi 110 MP. Ismail Sabri turut mendakwa 40 MP BN masih menyokong Kerajaan pimpinan Muhyiddin dalam satu kenyataan berasingan. Atas kertas, BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS mempunyai 42 MP.


Perang PDF Keempat – Dr Mahathir Ikut Serta. Muhyiddin Letak Jawatan! 

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir yang mempunyai 4 orang MP turut serta dalam mengeluarkan kenyataan bagi mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan. (Cukup sampai situ. Tunggu cadangan Tun!)


Perang PDF Kelima – Akhirnya Muhyiddin Bersuara!

Kira-kira 8 jam setelah Istana Negara mengeluarkan titah YDPA, akhirnya!! Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan balas 4 halaman terhadap Istana Negara. Muhyiddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri memperincikan kronologi perbincangan menarik balik ordinan darurat tersebut dengan YDPA. Dengan kata lainnya, Fight On buat Muhyiddin!

Kenyataan tersebut telah mencetuskan lebih banyak PDF balas yang dikeluarkan lawan dan kawan. Antaranya adalah:-

1) Pakatan Harapan 

2) UMNO

3) ARMADA (Senator pun nak zahirkan)

4) GPS

Dan akhir sekali, negara sekali lagi dikejutkan dengan tularnya Surat Sulit YDPA terhadap Perdana Menteri bertarikh 29 Julai 2021 pada Petang Jumaat, 30 Julai 2021. Sehingga hari ini, tiada kenyataan daripada pihak Istana Negara yang menyangkal  kesahihan surat tersebut.


Perang PDF Keenam – DG Selamatkan PM! 11 KES COVID DI PARLIMEN


Perang PDF Ketujuh – Dr Mahathir cadang Majlis Pemulihan Negara 

Ya, selepas desak Muhyiddin letak jawatan, Dr Mahathir cadang Majlis Pemulihan Negara diisi oleh beberapa individu yang dikatakan apolitical. Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada Dr Mahathir menamakan dirinya selaku Pengerusi MPN atau mengiktiraf Muhyiddin untuk mengepalai majlis tersebut.


Perang PDF Kelapan – Kenyataan Setiausaha Parlimen. Timbalan Speaker Tutup Parlimen!

Sudah dijangka! Parlimen ditutup. Jangan buang masa baca. 


Perang PDF Kesembilan dan yang terakhir (Setakat Jam 0000 2 Ogos 2021) – Kenyataan MP-MP Pembangkang

Kenyataan MP-MP pembangkang yang dikeluarkan pada jam 2332 (1 Ogos 2021) ini tanpa melibatkan WARISAN dan Pejuang ini memberikan gambaran tentang penyatuan parti-parti pembangkang. 


Bermulanya Perang Nombor! Muhyiddin Mungkin Disingkirkan di Parlimen?

Sebelum kita mulakan analisis pengiraan, mari kita imbas kembali kedudukan semasa di Dewan Rakyat sebelum Perang PDF bermula pada Khamis 29 Ogos 2021.

Selepas dianalisis Perang-Perang PDF yang dikeluarkan oleh MP-MP Kerajaan dan Pembangkang, dapat simpulkan perang nombor ini dibahagikan kepada dua pusingan iaitu :- 

Pusingan Pertama : Tahap Kepercayaan Muhyiddin Sebagai PM

Pusingan Kedua :  Siapa PM ke 10?


Pusingan Pertama : Tahap Kepercayaan Muhyiddin Sebagai PM

(Lebih 110 MP Menang)

Jika dilihat daripada kenyataan-kenyataan media yang di keluarkan oleh kedua-dua belah pihak, Muhyiddin dijangka berdepan masalah besar jika berlakunya pengundian pada Sidang Parlimen Isnin pada 2 Ogos 2021 (semua dah maklum, parlimen telah di tutup semula). Sekira berlakunya pengundian di Parlimen, Muhyiddin dijangka tidak cukup jumlah sokongan dengan bergantung harap pada sokongan MP-MP UMNO yang di luar kabinet bagi menyelamatkan dirinya. (lihat infografik 1)

MP Percaya kepada Muhyiddin – 93 MP

MP Tidak Percaya kepada Muhyiddin – 112 MP

Tidak Pasti – 15 MP

Pembangkang dan UMNO di kem Zahid (dapat dikenal pasti 6 MP: Bagan Datuk, Pekan, Pontian, Machang, Jerantut, Cameron Highlands ) serta Ku Li (Gua Musang) dilihat jelas menolak kepimpinan Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri. Hanya tinggal 15 MP UMNO yang berada di luar kabinet menjadi tanda tanya tentang kedudukan mereka. Namun begitu, dengan pengaruh yang ada pada Najib Razak dijangka 2 atau 4 lagi MP UMNO (minimum) akan turut menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai PM. Biarpun begitu, Muhyiddin Yasin dan PN punyai cukup waktu pada Transfer Window kali ini bagi “memujuk” MP-MP UMNO di luar kabinet serta pembangkang untuk menyokong dirinya. 

*Pada 9 Januari 2021, Ahmad Jazlan (Machang) Tarik Sokongan Terhadap Muhyiddin . Nazri Aziz turut sama menarik sokongan selang beberapa hari tetapi kembali U-Turn. 

*Pada 10 Julai 2021, 2 MP UMNO (Jerantut dan Cameron Highlands) dilaporkan tarik sokongan pada Muhyiddin selari dengan keputusan MKT UMNO.

*Pada 29 Julai 2021, MP UMNO Pekan turut mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan namun masih lagi menyokong Kerajaan PN.

*Pada 1 Ogos 2021, difahamkan 30 daripada 42 MP BN tandatangan SD sokong Muhyiddin di Wisma Perwira.


Pusingan 2: Siapa PM ke 9? 

Mengambil kira situasi Muhyiddin Yasin disingkirkan daripada jawatan PM, negara bakal sekali lagi berdepan dengan perlumbaan kerusi bagi merebut jawatan PM (menolak kebarangkalian Pilihan Raya melihat kepada situasi COVID-19). Di blok PH, Anwar Ibrahim dilihat jelas bakal diangkat sebagai calon PM tunggal Pakatan tersebut. Namun begitu, parti-parti pembangkang yang lain terutamanya Pejuang dijangka tidak akan memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Jika diikutkan pada Kenyataan Media MP-MP pembangkang pada 1 Ogos 2021, Pejuang dan Warisan dilihat tidak ikut serta dalam kenyataan tersebut. Keadaan ini menampakkan jumlah sokongan yang diperolehi oleh Anwar hanyalah 93 MP daripada PH, Bebas (Simpang Renggam dan Muar), PSB dan UPKO.

Di blok Perikatan Nasional, dengan penyingkiran Muhyiddin sebagai PM, UMNO dan Bersatu dilihat sukar untuk menamakan seorang calon tunggal bagi dinamakan sebagai PM. Biarpun UMNO secara mata kasar berpecah kepada dua kem, Ismail Sabri dilihat merupakan calon yang bakal dinamakan oleh parti itu sebagai calon Perdana Menteri atas faktor Timbalan Perdana Menteri. MP-MP BERSATU dijangka akan berdepan perpecahan dalam memberikan sokongan terhadap Ismail Sabri. Hal ini kerana, pengkhianatan UMNO terhadap Timbalan Presiden BERSATU di Perak jelas menunjukkan bahawa parti itu bakal berhadapan masalah untuk menguasai semula Malaysia (BERSATU hanya tinggal berkuasa di Sabah). Melihat ke hadapan, parti itu dijangka sukar untuk meletakkan calon-calon parti itu di kawasan parlimen yang turut ditandingi UMNO sekiranya duduk dibawah UMNO. BERSATU ASLI (BERSATU OG) dan BERSATU yang asalnya daripada PKR (lebih dikenali sebagai G10) tidak akan memberikan laluan mudah untuk UMNO menamakan calon PM mereka bagi kelangsungan politik berdepan  PRU 15 kelak. 

Ini memberikan kelebihan buat Dr Mahathir yang dilihat tidak akan mudah memberikan sokongan kepada Anwar mahupun UMNO (sekiranya Najib dan Zahid memberikan sokongan kepada Ismail Sabri). Dr Mahathir dilihat mampu untuk menjadi Kingmaker (penentu) atau mencalonkan dirinya sendiri selaku Perdana Menteri buat kali ke-3. BERSATU OG dan G10 serta WARISAN dilihat akan berada di pihak Dr Mahathir bagi membuka perlumbaan ini ke pusingan ketiga.

 

Buat masa ini, Muhyiddin masih lagi cuba untuk melambat-lambatkan perlumbaan sebenar yang bakal berlaku dalam tempoh beberapa minggu atau beberapa bulan lagi. Keadaan ini bagi memberikan masa tambahan buat Muhyiddin mencari MP-MP untuk menyokongnya sekiranya berdepan pengundian di Dewan Rakyat. Amat sukar buat Muhyiddin untuk mencari MP yang Free Agent pada waktu ini kerana dirinya sudah dianggap liabiliti oleh pelbagai MP merentasi parti dengan penglibatan Istana ke krisis ini.


Kamal Rafza merupakan graduan Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi di sebuah Universiti Awam di Malaysia. Beliau juga seorang penganalisis politik Malaysia dan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *