Minda Tertawan

  • by

Sedia maklum bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan di sesebuah negara dipandu oleh golongan politikus terutamanya yang berada di dalam Parlimen. Dasar-dasar ini yang menentukan pembangunan material dan sosial bagi sesebuah negara. Justeru adalah amat penting bagi kita untuk mempunyai politikus yang cerdik dan tidak pandir. Kecerdikan ini bukan sahaja harus dimiliki oleh politikus yang menjadi ahli Parlimen sahaja, tetapi juga buat semua yang bergiat aktif dalam dunia politik.

Politik bukan sekadar tentang pentadbiran. Politik ialah gaya hidup, kesinambungan sejarah dan budaya, dan menentukan segala macam perkara dalam kehidupan komunal dan peribadi kita. Masalah kita pada hari ini ialah kita membiarkan politik penaung (Patronage Politics/Warlordisme) menguasai politik kita. Natijahnya, mereka yang mempin kita hanya mempunyai kekuatan pengaruh yang tidak semestinya hadir dengan kekuatan intelek. Lalu, politik kita dipenuhi orang-orang bodoh.

Kebodohan yang bagaimana yang dimiliki mereka? Sudah tentu kalau bodoh itu disifatkan pada kelayakan akademik, mungkin tiada yang bodoh di antara politikus. Rata-rata berpendidikan, malah berkelulusan dari universiti di luar negara (namun ada juga yang menipu sijil). Bodoh mereka datang dari sikap pandir mereka yang tidak memahami bagaimana untuk memacu negara.

Sesebuah negara itu punya perjalanan sejarah yang tersendiri. Perjalanan ini membentuk segala pemikiran, tatanan sosial dan sudah tentu permasalahan yang tersendiri. Perkara ini jarang sekali difahami oleh politikus.

Perkara ini sudah lama dibincangkan oleh pemikir terulung Malaysia, Almarhum Dr. Syed Hussein Alatas. Beliau mendedikasikan satu bab dalam buku beliau ‘Intelektual Masyarakat Membangun’ untuk menunjukkan apa yang berlaku bila kita dipimpin oleh kaum pandir. Dalam kajian beliau, beliau mendapati jutaan Ringgit terbazir disebabkan kebodohan politikus dalam menyelesaikan masalah.

Aku akan fokus kepada satu aspek dalam kebodohan itu iaitu ketidakmampuan mereka menganalisa masalah, khususnya di Malaysia. Seperti yang dinyatakan, sesebuah negara mempunyai masalah yang tersendiri. Sekalipun masalah yang sama dihadapi oleh negara lain juga, namun dari aspek yang lebih spesifik, banyak yang membezakan masalah tersebut – asal punca masalah, aktor dalam permasalahan, halangan penyelesaian. Malah, terkadang juga merangkumi perkara seperti keadaan geografi.

Dalam dunia yang semakin global dan mengaburkan garis perbezaan antara negara (melainkan perkara jelas seperti sejarah dan budaya bangsa), politikus melihat bahawa semua negara adalah sama sahaja. Permasalahan yang dihadapi oleh sesebuah negara tidak dilihat sebagai masalah asli yang khas dihadapi sesebuah negara. Lalu segala polisi penyelesaian masalah ditiru bulat-bulat dari negara lain kerana tanggapan bahawa itu masalah yang sama.

Ketidakmampuan mereka untuk melihat bahagian yang membezakan masalah di setiap negara akhirnya diterjemah kepada polisi separuh masak. Mengapa separuh masak? Seperti yang aku sebutkan, mereka meniru secara terus dan tidak kritikal polisi dari negara luar. Ketidakmampuan mereka untuk berfikir berpunca dari sikap malas untuk berfikir.

Lalu sebenarnya yang politikus perlu buat?

Dalam pembacaan aku dalam buku Diskursus Alternatif Ilmu Sosial tulisan Prof. Dr. Syed Farid Alatas, aku terlintas dengan satu perkataan menarik – Ulayatisasi (Indigenization). Proses ulayatisasi ialah untuk “melokalkan” sesuatu. Dr. Syed Farid menumpukan proses ini dalam bidang ilmu sosial iaitu untuk mengulayat bidang ilmu sosial sesuai dengan sosiologi ilmu sesebuah negara atau sesuatu kawasan.

Membawa konsep pengulayatan (Indigenizing) dalam perbincangan polisi, politikus kita mampu untuk menyatakan penyelesaian bersesuaian masalah khusus negara. Ulayatisasi tidak harus difahami dari sudut negatif iaitu menentang secara total polisi penyelesaian dari luar. Ulayatisasi harus mengambil makna yang positif iaitu penyelesaian yang mengambil maklum keadaan setempat. Penyelesaian tidak harus berpunca dari pengamatan yang terasing dari realiti keadaan. Ulayatisasi ialah syarat utama untuk memfokuskan penyelesaian sejagat kearah negara tersendiri.

Contoh yang aku lihat baru-baru ini, isu tambak di Pulau Pinang. Ada politikus (bukan dari kalangan ahli Parlimen) yang menyatakan bahawa Denmark juga melaksanakan polisi tambak laut. Katanya, kalau negara maju yang menekankan Polisi Hijau (Green Policy) juga boleh buat, mengapa tidak Malaysia? Tidakkah ini menunjukkan kebodohan dan kepandiran politikus. Mereka jelas sekali tidak mengambil kira isu iklim, jenis tanah dan menganalisa perbezaan kesan yang berlaku di Denmark dan bakal berlaku di Malaysia.

Itulah kesan bila pemimpin tertawan mindanya, pandir pemikirannya dan malas untuk memahami konteks Malaysia. Pemimpin pandir ialah bala bagi Malaysia.

Pengulayatan adalah penting bagi politikus supaya tidak hanya mencedok, tetapi juga berfikir. Penting untuk politikus menjadi cerdik dan mengkaji keadaan khusus Malaysia – dari geografi, sejarah, budaya, tatanan sosial sehingga ke perkara seperti sentimen rakyat setempat. Dari itu, barulah politikus Malaysia boleh menyatakan penyelesaian yang menyeluruh yang bersesuaian khusus untuk negara kita.

___

Aliff Naif ialah Editor dan kolumnis tetap Demuda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *