Miskin Sebab Malas?

  • by

Kempen #BenderaPutih yang tular menjadi bukti bahawa kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin parah. Pandemik yang menyekat pencarian pendapatan, ditambah dengan kegagalan pentadbiran kerajaan yang tidak membantu mengurangkan kes COVID-19 menyumbang lagi kepada permasalah kemiskinan yang sudahpun melarat. 4 laporan Families on Edge oleh UNICEF Malaysia juga menunjukkan hal yang sama, khususnya bagi miskin bandar. Laporan tersebut dinyatakan berdasarkan kajian terhadap 500 buah keluarga di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Bila sebut perihal kemiskinan, ada yang menganggap puncanya ialah kemalasan – sama ada kemalasan sewaktu zaman beajar mahupun kemalasan bekerja bagi mengumpul harta. Tular juga video orang kaya yang mengecam kempen Bendera Putih dan menggesa agar golongan miskin untuk berusaha lebih lagi. Namun, benarkah bahawa kemiskinan itu berpunca dari sikap malas?

Kemiskinan ialah masalah struktural dan harus dilihat sebegitu, bererti masalah ini berakar dalam masyarakat melebihi yang dilihat pada permukaan. Jika kita hanya melihat kemiskinan sebagai masalah usaha, kita terlepas punca sebenar lalu menggagalkan kita untuk menyelesaikan punca masalah. Pandangan bahawa kemiskinan berpunca dari kemalasan ialah pandangan dari orang yang malas berfikir.

Kemiskinan dalam erti kata ketidakmampuan menampung diri dan tanggungan sehari-harian ialah simptom dan natijah dari punca permasalahan yang lebih besar. Masalah tersebut ialah pengagihan kekayaan yang tidak adil yang berlaku dengan hadirnya sistem kapitalisme yang menindas. Penindasan dari kapitalisme berlaku dek ketidaksamarataan penegakan tiga nilai normatif bagi demokrasi modern – Kebebasan, Kesamarataan dan Solidariti.

Dalam pasaran kapitalisme, kebebasan dalam soal harta persendirian (private property) itu diletakkan sebagai tonggak keadilan. Justifikasinya ialah pasaran bebas menyediakan pentas yang ‘adil’ walhal kesamarataan peluang tidak diambil kira. Kesamarataan partisipasi dalam dunia pasaran bebas tidak menjamin kesamarataan pada peluang untuk berpartisipasi dan pada natijah. Kepentingan juga akan lebih berpihak pada golongan yang lebih kaya kerana keadaan ekonomi dan sosial memenangkan mereka.

Satu teori yang menjelaskan bagaimana kapitalisme membawa kepada kemiskinan ialah melalui eksploitasi golongan kapitalis terhadap golongan pekerja. Eksploitasi ini berlaku antaranya ialah dengan membayar upah pekerja tidak setimpal dengan tenaga kerja yang dijual. Kerana tujuan utama kapitalisme ialah untuk memaksimakan keuntungan, pemberian gaji yang tidak setimpal juga merupakan strategi untuk memenuhkan lagi tembolok kapitalis. Di sinilah wujudnya masalah gaji pekerja tidak mampu membiayai kehidupannya sehari-hari, mewujudkan kitaran kemiskinan. Kapitalis semakin kaya melalui eksploitasi ini dan golongan pekerja semakin miskin.

Kos sara hidup yang meningkat hasil dari standard kehidupan yang semakin tinggi disebabkan urbanisasi dan pengindustrian turut menyumbangkan lagi kepada kenaikan kadar kemiskinan. Hadir pula pandemik, kemiskinan semakin melarat. Sekalipun ada bantuan yang diberikan kepada rakyat, namun ini hanya menyelesaikan masalah kemiskinan secara permukaan. Permasalahan agihan kekayaan yang tidak setara masih tidak diselesaikan.

Kajian oleh UNICEF Malaysia terhadap 500 keluarga di PPR mendapati sejak pandemik 57% dari mereka mengalami kemerosotan kewangan yang teruk. 52% dari keseluruhan juga tiada akaun EPF dan SOCSO – antara eksploitasi golongan kapitalis terhadap orang miskin melalui pengabaian kebajikan pekerja. Golongan miskin bandar juga didapati mengurangkan perbelanjaan pada pendidikan, sudah tentu mempunyai perkaitanan dengan penutupan institusi pendidikan dan wujudnya pembelajaran dalam talian. Walaupun mereka mungkin mempunyai lebihan kewangan dari beberapa sudut, mereka juga berjimat cermat dengan mengurangkan perbelanjaan pada makanan dan hanya membeli makanan ruji semata-mata. Itupun masih tidak mencukupi sehingga masyarakat madani seluruh Malaysia juga turun membantu meringankan beban ini.

Disebabkan komitmen yang paling menekan ialah pembayaran bil dan  utiliti, maka bantuan kewangan one-off ialah yang paling diperlukan buat masa ini. Kajian UNICEF Malaysia membuktikan hal tersebut apabila bantuan kewangan oleh kerajaan sememangnya digunakan untuk itu.

Namun, harus difahami bahawa bantuan kewangan hanya menyembuhkan simptom dan bersifat sementara. Penyelesaian utama terletak di bahagian struktur – agihan kekayaan yang adil, penjagaan hak pekerja dan kerangka perlindungan sosial, dan membuka ruang untuk lebih kebolehcapaian sumber kepada golongan rentan dari segi kesihatan, peluang pekerjaan, kebajikan, pendidikan dan pemakanan seimbang. Apabila hal struktur ini direformasikan dan diubah bagi menjaga kebajikan, maka penyakit utama yang membawa kepada kemiskinan dapat dihapuskan. Pembuat polisi juga perlu berperanan untuk menyentuh hal penyakit utama kemiskinan iaitu pada struktur. Kegagalan dan ketidakpedulian pembuat polisi dalam hal inilah yang meneruskan lagi kitaran kejam ini untuk bergenerasi lamanya.


Aliff Naif ialah editor dan kolumnis tetap Demuda. Aliff Naif juga seorang pelajar yang banyak menghabiskan masa merangka dan menulis artikel berbanding berusaha menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *