Orwellian dan Bahasa Propaganda

  • by

Melewati di halaman dan garis masa media sosial kisah rakyat Palestin yang ditindas kerajaan Zionis Israel. Setiap hari mata dan telinga kita disajikan dengan visual bedilan roket dan berdas-das bunyi tembakan. Raungan anak-anak kecil yang kehilangan ibu bersahut-sahutan dengan tangisan si ayah yang kehilangan putera-puteri tercinta.

Israel melalui badan ketenteraannya, Israel Defence Force, saban hari menggunakan kekerasan tanpa batasan dan tanpa rasa kemanusiaan meragut nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Israel Defence Force”. Ironi bukan namanya?

Nama badan ketenteraan Israel dilekapkan dengan frasa “Defence Force” tapi secara zahirnya mereka lebih banyak dan terlebih dahulu menyerang Palestin berbanding bertindak mempertahankan negara. Persoalannya, kenapa namanya dinyatakan sebegitu? Kenapa tidak dinamakan sahaja Israel Offence Force atau sewaktu dengannya?

Malah jika diperhatikan, semua negara meletakkan nama badan ketenteraan atau kementerian yang bertanggungjawab keatas badan ketenteraan sebagai “Kementerian Pertahanan”, sekalipun mereka adalah negara yang banyak menjaja peperangan ke atas negara lain.

Frasa “Israel Defence Force”, Kementerian Pertahanan dan yang sepertinya ini disebut sebagai Orwellian. Apa itu Orwellian?

Orwellian ialah kata sifat yang diambil dari nama seorang penulis British yang tersohor, Eric Arthur Blair, lebih dikenali dengan nama pena George Orwell. Buku-bukunya merupakan antara catatan politik yang paling berpengaruh di dunia. Tulisannya yang sudah tentu kita semua tahu dan mungkin pernah dibaca ialah Animal Farm dan 1984 (atau Nineteen Eighty-Four). 

Lalu, apa itu sebenarnya Orwellian? Orwellian sering dinotakan sebagai ciri yang disifatkan kepada negara autoritarian – pembungkaman hak kebebasan rakyat, penegakkan undang-undang drakonian dan penindasan yang  tak bertepian. Sebenarnya Orweillian lebih dari sekadar autoritarian. Orwellian menggambarkan bagaimana bahasa boleh digunakan bagi mengawal minda, pemikiran dan pendapat rakyat. Jelas, ia lebih berbahaya dari sekadar autoriti yang kejam.

Dalam novel ulung beliau iaitu 1984, Orwell menceritakan tentang sebuah negara bernama Oceania yang mengawal seluruh kehidupan rakyatnya termasuk pemikiran. Bagaimana Oceania mampu berbuat demikian? Melalui pengawalan bahasa. Kerajaan Oceania mengawal bahasa melalui penerbitan kamus yang sangat simplistik yang mengajar tentang Newspeak – Bahasa Inggeris yang dikurangkan kosa kata untuk menghalang bentuk pemikiran yang kompleks yang berkemungkinan menatijahkan penentangan terhadap pemerintah. 

Gaya bahasa yang digunakan dipanggil “doublespeak”, di mana satu perkataan tidak menggambarkan keadaan sebenar. Tidak wujud perkataan “bad” atau “very bad” di Oceania. Perkataan itu digantikan dengan “ungood”.

Dalam novel 1984, Kementerian yang mengawal propaganda dipanggil Ministry of Truth. Kementerian yang menyeksa para penentang kerajaan dipanggil Ministry of Love. Kem penderaan dipanggil Joycamps, dan Kementerian untuk peperangan dipanggil Ministry of Peace.

Hampir sama bukan dengan dunia kita? Kementerian yang mengawal ketenteraan seringkali dinotakan sebagai Kementerian Pertahanan. Ini adalah antara contoh Orwellian dan doublespeak untuk mengawal pemikiran, pandangan dan pendapat rakyat terhadap sesuatu.

Natijahnya, rakyat melihat bahawa perbuatan kerajaan itu sebagai sesuatu yang lain daripada perbuatan sebenarnya. Segala tindakan oleh Kementerian Pertahanan dilihat hanya untuk melindungi negara, walaupun mereka yang menyerang. Natijah ini disebut sebagai “doublethink” di mana sesuatu perkara tidak menyatakan sifat sebenar sesuatu. 

Antara contoh lain bagi doublespeak adalah dengan menyingkatkan frasa dan nama bagi perkara-perkara. Hampir semua perkara dalam novel tersebut disingkatkan; Ministry of Truth hanya Minitrue, dan Ministry of Plenty disingkatkan kepada Miniplenty. Contoh yang lebih jelas dari dunia sebenar ialah nama Parti Nazi pimpinan Hitler. Nazi merupakan singkatan dari Nationalsozialismus atau National Socialism. Namun, disebabkan singkatan nama partinya menjadi Nazi, Hitler meletakkan hijab antara dirinya dan konten ideologi sebenar partinya.

Orwell menulis 1984 sebagai satu bentuk amaran tentang bagaimana pihak kerajaan boleh mengawal rakyat melalui bahasa-bahasa yang lunak. Ini bentuk pengawalan pergerakan rakyat tanpa perlu membelenggu secara zahir.

Frasa yang dijadikan slogan rasmi oleh negara Oceania dalam 1984 adalah sesuatu yang perlu sama-sama kita perhatikan:

War is Peace.

Freedom is Slavery.

Ignorance is Strength.

Slogan ini dibaca hari-hari oleh rakyat Oceania dan ditulis besar di piramid putih Minitrue. Teringat aku pada kata-kata Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels, “Repeat a lie often enough and it becomes the truth.”

Akhir kata, aku nak mengajak yang sudi membaca untuk mengecam sekeras-kerasnya tindakan celaka oleh Israel melalui Israel Defence Force yang sungguh Orwellian. Aku juga mengajak untuk melawan segala bentuk penindasan yang berlaku atas muka bumi, sama ada di Malaysia atau luar.

____
Aliff Naif ialah editor dan kolumnis tetap Demuda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *