Pertembungan Antara Ekonomi dan Ekologi

  • by

Telah banyak sumber daya bumi diambil dan dieksploitasi atas nama keperluan ekonomi. Dengan ini banyak kerosakan berlaku, seperti penipisan lapisan ozon, kepupusan spesies floral dan fauna, pemanasan global, penyahutanan, dan pencemaran sungai, laut, udara, dan tanah yang memerlukan tindakan pemuliharaan yang proaktif dari semua pihak. Kesemua tragedi ini diibaratkan seperti kepingan-kepingan puzzle yang sama, iaitu “pertembungan antara kemajuan peradaban seluruh dunia dan sistem ekologi bumi”.

Pertembungan ini berlaku disebabkan oleh tiga perubahan besar dari segi hubungan kita dengan bumi; pertama, pertambahan populas penduduk dunia yang meningkat secara mendadak; kedua, revolusi ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang telah meningkatkan kemampuan kita untuk memanipulasi alam semula jadi dan memberi impak kepada dunia; dan ketiga, cara berfikir tentang hubungan kita dengan alam sekitar yang  telah berubah (malangnya, bukan ke arah yang  lebih baik) kerana kita telah menerima tekanan modenisasi yang kuat untuk menafikan tanggungjawab untuk menanggung akibat pada masa hadapan hasil tindakan kita sekarang.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama mengenai Persekitaran Manusia yang diadakan di Stockholm, Sweden pada tahun 1972 telah membangkitkan kesedaran global mengenai keperluan bagi semua aktiviti pembangunan untuk patuh kepada peraturan dasar ekologi yang jelas.

Turut dinyatakan bahawa selagi kemiskinan yang berleluasa berlanjutan, tidak akan ada harapan untuk mencapai keharmonian antara manusia dan alam sekitar. Di sini, kita dapat lihat, bahawa wujudnya kesalingkaitan antara ekologi dan ekonomi.

Dalam hal ini, kita perlu mencari perdamaian antara kepentingan pemeliharaan alam sekitar bagi jangka masa panjang, dan keperluan mendadak yang memaksa pembangunan bagi memenuhi keperluan asas manusia. Untuk mencapai hasrat yang dinyatakan, keutamaan harus diberikan pada aspek praktikal dan juga sosio-etika.

Amatlah sukar untuk mempertahankan dunia dan alam sekitar khususnya, bagi jangka masa panjang, bilamana 20% penduduk menggunakan lebih daripada 80% sumber yang sedia ada. Kedua-dua persekitaran dan pembangunan tidak akan dapat dikekalkan dan dijaga melalui kemiskinan dan perut yang lapar.       

Namun, eksploitasi melampau dari segi fizikal dan intelektual, gerakan sains dan teknologi secara membuta tuli tanpa tujuan spiritual dan teleologi, dan pembaziran sumber terbukti telah menyumbang kepada keadaan krisis semasa.

Pada dasarnya, corak pembangunan memainkan peranan penting dalam menentukan masalah alam sekitar di negara maju dan negara-negara membangun. Di negara maju, kebanyakan masalah muncul disebabkan oleh perkembangan saintifik dan teknologi yang maju tetapi kekurangan pembangunan dan kemajuan menjadi pemangkin kepada masalah persekitaran di negara-negara yang masih membangun.

Namun di sini, titik persamaan yang kita kongsi adalah sebuah persoalan, “Bagaimana untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup manusia dan dalam masa yang sama, meminimakan kemerosotan alam sekitar secara fizikal?”

Masyarakat mula keliru apabila muncul beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut pembatalan atau pengkajian semula beberapa projek mega seperti projek tambak laut, penerokaan hutan simpan secara besar-besaran, dan projek-projek mega di kawasan perairan negara, yang secara zahirnya dimaklumkan akan memberi manfaat kepada rakyat dan dapat memangkin ekonomi tempatan. Tindakan ini seolah-olah menentang sebarang kegiatan pembangunan dan bersifat mundur.

Namun dalam konteks ini, apa yang cuba disampaikan ialah kerugian yang akan diterima akibat kemusnahan ekosistem dan perubahan topografi adalah lebih tinggi berbanding keuntungan dijangka. Tragedi banjir akibat tiada sistem tadahan hujan alami daripada hutan yang telah digondol mampu mengakibatkan kerugian sehingga RM2 billion setiap kali musim hujan. Tanah runtuh akibat pembangunan di lereng bukit juga telah meragut 48 nyawa pada tragedi keruntuhan Highland Tower pada tahun 1993.

Selain itu, kegiatan pembalakan dan penyahutanan di kawasan hutan simpan kekal telah menimbulkan konflik antara manusia dan hidupan liar seperti kemusnahan kawasan ladang akibat gangguan haiwan liar, dan serangan fizikal terhadap komuniti setempat oleh haiwan liar yang kehilangan habitat asal yang mampu mengakibatkan kecederaan dan kematian. Ini belum termasuk lagi dengan kes kemalangan jalanraya yang melibatkan haiwan-haiwan terlindung seperti harimau Malaya, tapir, dan gajah.

Kesimpulannya, konservasi dan preservasi terhadap ekosistem bukanlah semata-semata untuk melindungi haiwan-haiwan liar dan pokok sahaja, namun kita harus sedar, kesan terhadap kemusnahan ekosistem juga akan memberi impak terhadap sosial, ekonomi, dan budaya masyarakat tempatan.

Namun pada masa yang sama, kita tetap perlu menyokong mana-mana pembangunan yang bersifat lestari. Lestari yang bukan hanya pada nama, tetapi juga dari segi ketelusan yang bebas daripada korupsi, dan manfaat yang dapat diberikan, kepada taraf hidup manusia, kelangsungan ekonomi, dan pemeliharaan alam sekitar.


Nizam Rahman ialah kolumnis Demuda. Beliau masih keliru dengan konflik keperluan menjaga bumi dan menjaga kebajikan masyarakat. Semua ini mendorong beliau untuk terus membaca dan menulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *