Politik Preskriptif Mao Zedong

  • by

Mao Zedong atau Mao Tse-Tung merupakan pemimpin presiden Republik Rakyat China (PRC) yang pertama. Beliau dilahirkan pada 26 Disember 1893 di daerah Shaoshan wilayah provinsi Hunan, China. Ayahnya, Mao Yichang merupakan seorang petani yang kaya di kampung halamannya manakala ibunya, Wen Qimei seorang penganut agama Buddha yang taat. Mao hidup dalam keluarga yang serba mewah. 

Mao merupakan pemimpin yang revolusioner dalam maksud bertindak secara radikal bagi mengubah sosioekonomi rakyat China. Dalam membawa perubahan yang pesat kepada sesebuah negara, biasanya satu jangka masa yang panjang diperlukan untuk merealisasikan perubahan tersebut. Tetapi Mao, dengan gaya revolusionernya, memperkenalkan dua buah dasar yang agak radikal dan menatijahkan impak besar kepada perubahan China sehingga ke hari ini.  


DASAR GREAT LEAP FORWARD  

Dasar ini diperkenalkan oleh Mao Zedong pada tahun 1958 iaitu empat tahun selepas Mao dilantik sebagai Presiden Republik Rakyat China (PRC). Pada tahun 1957, satu perbincangan telah diadakan oleh Parti Komunis China (CCP) dan Parti Pekerja yang diadakan di Moscow, Rusia. Ia dipengerusikan sendiri oleh Mao Zedong yang bertujuan untuk menetapkan satu matlamat bagi mengatasi Great Britain dalam sektor industri. Tahun berikutnya, Mao melancarkan dasar Great Leap Forward dan mengubah ekonomi negara China yang berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan industri. Pada dasarnya, Mao mahu membuktikan kepada rakyatnya bahawa negara mereka mampu berkembang maju dan pesat seperti negara Britain dan Amerika Syarikat sebagai pelopor kepada perindustrian sejak Revolusi Industri 1.0. Dasar Great Leap Forward diambil berorientasikan kemajuan perindustrian daripada negara Britain.

Melalui dasar ini, penggunaan buruh sebagai tenaga kerja pertanian dipindahkan ke sektor industri dalam skala yang besar. Bayaran upah yang murah menjadi asbab kepada pemindahan tenaga kerja yang produktif ini. Pemindahan sejumlah buruh yang ramai ini membawa kepada penyelesaian masalah kekurangan dan ketidakseimbangan modal tanpa perlu mengimport teknologi dari luar. Dalam merealisasikan impian dasar ini, terdapat dua cabaran utama iaitu collectivism dan industrialisation. Penduduk-penduduk China asalnya memiliki aset seperti tanah yang banyak suatu ketika dahulu. Namun disebabkan collectivism yang diacu dari fahaman Komunisme, Mao telah merampas semua aset milik rakyat China supaya dipindah milik kepada kerajaan. 

Keduanya adalah industrialisation. Bagi menjadikan China sebuah negara berasaskan perindustrian, ia memerlukan besi dalam jumlah yang banyak. Oleh itu, Mao mengerahkan rakyatnya untuk melebur besi. Akibat terlalu menumpukan perindustrian, sektor pertanian di China semakin merosot.  Perkara ini telah menjejaskan pertanian dan industri ringan di bandar dan luar bandar akibat kekurangan petani dan buruh bagi menyediakan keperluan asas makanan kepada rakyatnya. Kekurangan petani di sawah mengakibatkan jumlah penghasilan penuaian padi berkurangan yang menjejaskan proses penyediaan makanan kepada seluruh rakyat di China.  Hasilnya, dasar ini telah menyebabkan kebuluran yang dahsyat dalam sejarah hidup manusia sehingga menyebabkan jutaan rakyat mati kebuluran. Dikhabarkan seramai 36 juta hingga 45 juta rakyat China maut akibat kebuluran dan melalui dasar ini, ia telah direkodkan sebagai Largest Famine in History


DASAR THE FOUR PESTS CAMPAIGN  

Dasar The Four Pests Campaign ini dilancarkan pada tahun yang sama dengan dasar Great Leap Forward iaitu tahun 1958. Dasar ini bertujuan untuk menghapuskan haiwan dan serangga perosak yang mengancam kehidupan masyarakat di China. Empat haiwan dan serangga yang disenaraikan sebagai makhluk perosak iaitu Lalat, Nyamuk, Tikus dan Burung Pipit. Haiwan seperti Lalat, Nyamuk dan Tikus adalah makhluk perosak yang menyebabkan penyakit berjangkit berleluasa sejak Perang Dunia Kedua tamat. Wabak Tifus mula merebak disebabkan oleh Kutu Tikus; wabak Tifoid dibawa oleh Lalat; dan Malaria disebabkan oleh Nyamuk. Selain daripada penyakit yang disebutkan, telah dianggarkan sebanyak 10.5 juta penduduk China pada masa itu turut menghidap penyakit yang menjangkiti hati iaitu Schistosomiasis.  

Penyakit ini berpunca daripada jangkitan cacing parasit yang tersebar melalui air yang telah tercemar. Kerajaan China telah mengetengahkan beberapa langkah bagi mengawal penyakit berjangkit ini daripada membiak kepada penduduk-penduduk China yang lain. Kempen vaksinisasi telah dilakukan secara besar-besaran. Dalam kempen tersebut, lebih daripada 300 juta rakyat China telah menerima suntikan vaksin yang bertujuan membendung penyakit berjangkit daripada mudah merebak. Pembinaan infrastruktur sanitasi disediakan bagi merawat penduduk yang didapati menghidap penyakit berjangkit. Penyediaan air bersih juga dilakukan dan pembuangan sisa-sisa sampah diuruskan agar lebih efisien dan teratur. Petugas-petugas khas kesihatan direkrut bagi tujuan memudahkan diagnosis dan rawatan kepada penduduk bandar dan luar bandar.

Namun begitu, Burung Pipit dihapuskan bukan disebabkan oleh penularan wabak penyakit, tetapi mengganggu hasil tanaman padi di China. Mao melihat burung tersebut sebagai ancaman besar kepada proses penuaian padi di mana banyak hasil tanaman telah dimakan oleh Burung Pipit. Saintis China menganggarkan seekor Burung Pipit memakan sebanyak 4.5 kg hasil tanaman setiap tahun dan setiap sejuta Burung Pipit yang dibunuh mampu menyelamatkan 60,000 rakyat China. Oleh itu, Mao menggesa jutaan rakyatnya untuk menghapuskan burung tersebut dengan pelbagai cara seperti menembak, melastik, meracun dan memerangkap burung tersebut dan lebih mendahsyatkan lagi, telur Burung Pipit juga dihapuskan bagi mengekang pembiakan burung itu di China sehingga penghujung tahun 1959.  

Hasil tindakan rakyat China ini tidak seindah realiti yang diimpikan. Hasil tanaman masih lagi berkurangan disebabkan peningkatan jumlah populasi Belalang. Mao sedar bahawa polisi menghapuskan Burung Pipit itu akhirnya menjadikan tanaman di China semakin merosot. Oleh itu, Mao telah mengimport sebanyak 250,000 Burung Pipit daripada Kesatuan Soviet untuk mengimbangi semula ekologi di China demi mengawal pembiakan Belalang.

Kedua-dua dasar yang dibawa Mao ini membawa kepada kemusnahan hidup rakyatnya. Preskriptif yang diambil Mao untuk menyelesaikan suatu permasalahan telah menimbulkan masalah yang lain. Dalam dasar Great Leap Forward, tujuannya adalah untuk memajukan negara China melalui perindustrian namun pelaksanaan dasar ini menyebabkan jutaan rakyat mati kebuluran. Begitu juga dengan dasar The Four Pests Campaign yang mana Mao mengerahkan rakyatnya membunuh Burung Pipit yang disyaki penyebab kekurangan hasil pengeluaran tanaman tetapi penghapusan burung tersebut membawa padah kepada tanaman pertanian yang sama. Oleh itu, kedua-dua dasar ini menjadi 1001 pengajaran kepada pemimpin di luar sana supaya mengambil tindakan yang produktif sebelum membuat sebarang keputusan yang akhirnya memberi kesan buruk kepada nyawa dan ekonomi rakyat.


Alif Fahmi ialah mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga aktif di dalam aktivisme mahasiswa dan aktiviti kemasyarakatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *