Solidariti dan Perjuangan

  • by

“Liberté, égalité, fraternité”

Begitulah catatan laungan keramat Revolusi Perancis yang kini menjadi moto nasional republik tersebut. Revolusi Perancis terkenal sebagai titik permulaan bagi penyebaran idea demokrasi, atau kuasa rakyat,  Kebebasan, Keadilan dan Solidariti akhirnya menjadi nilai normatif bagi pembentukan sesebuah negara demokrasi.

Nilai normatif ini telah berabad dibincangkan para filsuf politik, dikembangkan dan dibahaskan dari semasa ke semasa. Soal Kebebasan dan Keadilan mempunyai pengamatan dan peranan intelektual yang tinggi dalam dunia sosial dan politik. Pembentukan sesebuah negara pastinya tidak lengkap dan pasti mempunyai ketempangan jika dua perkara tersebut diabaikan. Mahukah kita hidup dalam negara yang menafikan kebebasan rakyatnya dalam ruang politik dan sosial, yang sistemnya tidak adil dan berat sebelah yang memberikan kelebihan kepada sesetengah rakyat dari sesetengah yang lain? Mungkin kelebihan itu diberikan kepada pemerintah, politikus mahupun kelas atasan – di bahagian mana pun kelebihan itu wujud, di situ ketidakadilan wujud.

Aku tidak mahu berbahas panjang soal Kebebasan dan Keadilan, sudah ramai yang menulis tentang itu. Namun, perlu dijelaskan dahulu bahawa Keadilan di sini membawa maksud yang sama dengan pemahaman kesamarataan sebagai nilai normatif dalam masyarakat. Aku ingin menyentuh soal Solidariti dan suasana semasa kita di Malaysia.

Kewujudan Solidariti bukanlah secara spontan dalam masyarakat. Solidariti adalah hasil kesedaran akan satu identiti sosial yang dikongsi. Solidariti wujud dari perkongsian nilai dalam sesuatu kelompok. Nilai yang dikongsi yang perlu diangkat haruslah lahir dari prinsip yang mengutamakan masyarakat melebihi kepentingan diri sendiri. Boleh jadi Solidariti ini hasil dari peranan sosial atau juga dibentuk oleh sesebuah institusi. Bagaimanakah agaknya bentuk Solidariti jika dimanifestasikan dalam bentuk kekitaan dalam masyarakat?

Malaysia semakin rencam dengan pergerakan-pergerakan sosial yang berbeza tuntutannya. Ada gerakan meminta keadilan terhadap mangsa kekejaman polis, ada gerakan menuntut keadilan untuk pencemaran alam sekitar dan ada pergerakan menuntut Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan atas kegagalan pentadbiran. 

Di sini prinsip Solidariti memainkan peranannya dalam sesebuah negara demokrasi. Solidariti membantu membentuk asas kebersamaan sewaktu menegakkan Kebebasan dan Keadilan – kebersamaan hasil perkongsian nilai dan idea.

Bagaimana mungkin pergerakan sosial boleh dimobilisasikan juga hanya seorang dua sahaja yang bersama untuk memperjuangkannya?

Pergerakan siswa, umpamanya. Disebabkan sama-sama merasakan berlakunya pengongkongan terhadap kebebasan bersuara dan akademik, berserta ketidakadilan ke atas mereka, mereka bersatu hati melawannya. Kesatuan Pelajar, atau apa-apa kesatuan, juga wujud kerana wujudnya Solidariti dan kekitaan dalam menginginkan Kebebasan dan Keadilan.

Solidariti bukan hanya datang dari dalam sesebuah komuniti yang terjejas sahaja. Di setiap pergerakan sosial, pasti kita lihat mesej-mesej solidariti. Sekalipun sesebuah isu tidak memberi kesan kepada seseorang individu, pasti Solidariti akan dinyatakan.

Kita boleh ambil iktibar dari kisah penghapusan sistem perhambaan di Amerika Syarikat. Sebagai negara yang pertama mengamalkan prinsip demokrasi dan prinsip-prinsip liberal, adalah sesuatu yang aneh apabila kebebasan dalam segenap ruang dinafikan buat orang kulit hitam, masih ada ketidakadilan sosial dan tiada kesamarataan hak diberikan kepada mereka. Apabila kesedaran akan ketidakadilan ini hadir, bukan hanya orang kulit hitam sahaja yang perjuangkan haknya untuk kebebasan atas dasar tekad diri. Etnik lain turut bersolidariti berjuang bagi pihak orang kulit hitam yang akhirnya membawa kepada penghapusan sistem yang celaka itu. Perkara sama berulang tatkala golongan wanita dan orang kulit hitam menuntut hak untuk mengundi pada 100 tahun kemudian. Golongan yang tidak terkesan turut sama berjuang bagi pihak mereka yang terjejas.

Adakah Kebebasan dan Keadilan, dalam konteks yang dinyatakan tadi, dapat dicapai tanpa semangat Solidariti? Mungkin. Tapi, tidak dinafikan betapa pentingya peranan Fraternité dalam menyatakan Liberté dan Égalité.

Solidariti ialah sesuatu yang tidak boleh disisihkan dalam sesebuah perjuangan. Kisah Bendera Hitam yang berlaku baru-baru ini menjadi bukti buat kita. Seluruh rakyat Malaysia terkesan teruk akibat dampak pandemik dan dampak kegagalan pentadbiran sebuah kerajaan. Ada yang terjejas lebih teruk berbanding yang lain. Sudah tentu jika hanya seorang yang mengangkat bendera hitam, kata-katanya tidak akan diendah. Namun, jika 30,000 orang bersolidariti mengibarkan bendera hitam, itu bakal menghantar satu mesej buat kerajaan. Mesejnya juga nampaknya diterima sehinggakan pihak berkuasa membuka kertas siasatan bagi menyiasat kempen ini.

Solidariti menjadi lokomotif yang memacu perubahan sosial supaya Kebebasan dan Keadilan dapat dipasakkan dalam bentuk yang tiada kontradiksi. Sejarah sudah membuktikannya, kini kita perlu sekali lagi melaksanakannya.

Sudah tentu Solidariti punya sisi gelapnya. Perkongsian nilai yang buruk juga akan mewujudkan semangat kekitaan. Akhirnya terbentuklah pergerakan yang mazmumah, yang tidak mementingkan langsung kemaslahatan awam.

Oleh itu, dari awal perbincangan kita, aku menekankan Solidariti bersama Kebebasan dan Keadilan. Pemisahan Solidariti dan dua lagi prinsip besar ini akan merosakkan tujuannya. Semak kembali nilai pergerakan sosial kita, atau pergerakan yang kita sama nyatakan solidariti; adakah itu disertakan sekali dengan Kebebasan dan Keadilan, diwujudkan atas nilai-nilai yang baik untuk masyarakat, dan mengutamakan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri?


Aliff Naif ialah editor dan kolumnis tetap Demuda. Aliff Naif juga seorang pelajar yang banyak menghabiskan masa merangka dan menulis artikel berbanding berusaha menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *