Tanggungjawab Bersama Di Parlimen

  • by

Politik tanpa moral mengancam keseimbangan negara. Kerajaan mencabul undang-undang dan amalan politik wang dan rasuah berleluasa serta menjadi lebih barah apabila undang-undang tempang dicipta untuk memelihara kedudukan. Kesannya, kerajaan memerintah menyalahgunakan kuasa dan hak-hak rakyat terabai. Oleh itu, apakah etika politik atau politik moral yang menjadi undang-undang mengikat Jemaah Menteri di Malaysia?

Malaysia ialah sebuah negara yang berpaksikan pemerintahan Demokrasi Berparlimen yang diwarisi daripada sistem Westminster dari England. Umum sedia maklum, kerajaan demokrasi ialah kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya di sesuatu negara seperti Malaysia yang mengadakan pilihanraya umum setiap lima tahun sekali. Antara ciri sistem pewarisan Westminster di Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara yang mana ia terkandung dibawah Perkara Empat Perlembagaan Persekutuan dan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara bersifat nominal eksekutif atau berkuasa dan bertindak melalui nasihat real eksekutif iaitu Perdana Menteri. Seterusnya, ciri Westminster yang terpakai ialah meletakkan Parlimen sebagai badan perundangan utama selaras dengan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kuasa perundangan Persekutuan adalah pada Parlimen yang mana Parlimen hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Ciri-ciri lain yang biasa difahami daripada sistem Westminster ialah prinsip semak dan imbang dan amalan konsep pengasingan kuasa dalam tiga cabang utama kerajaan.

            Merujuk kepada kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, hampir keseluruhan prinsip dan konsep perlembagaan ialah kawalan berbentuk perundangan kepada pemerintah. Prinsip dan konsep itu pula kebanyakannya diambil daripada konvensyen perlembagaan yang telah menjadi asas dalam merangka undang-undang perlembagaan. Walaubagaimanapun, konvensyen Perlembagaan bukanlah suatu undang-undang mengikat malah ia lebih sebagai etika politik yang tidak akan dikuatkuasakan mahkamah. Salah satu contoh elemen konvensyen ialah prinsip tanggungjawab bersama. Prinsip ini berasal daripada konvensyen perlembagaan yang tidak bersifat undang-undang mengikat. Namun, ia telah diterima sebagai salah satu undang-undang yang mengikat di Malaysia yang boleh dihuraikan dibawah.

Prinsip tanggungjawab bersama atau collective responsibility ditulis dengan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah Perkara 43(3) dimana Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen. Dalam pengaplikasian sistem Westminster, keanggotaan badan eksekutif dan legislatif adalah bertindih atau erti kata lain, individu yang memegang portfolio eksekutif adalah individu yang sama memegang portfolio legislatif. Hal ini kerana, Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perdana Menteri hendaklah individu yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat itu sendiri dan menteri kabinet hendaklah dilantik dalam kalangan mana-mana satu Majlis Parlimen. Dengan itu pentingnya prinsip tanggungjawab bersama kerana setelah dilantik sebagai jemaah menteri atau menteri kabinet, setiap menteri itu mestilah bertanggungjawab menjaga kementeriannya dan juga portfolio masing-masing. Menurut konevensyen perlembagaan, jika seseorang menteri itu tidak bersetuju dengan dasar atau pendirian kerajaan, menteri itu hendaklah meletak jawatan sebagai tanda menteri itu tidak sehaluan dengan kerajaan memerintah termasuk tidak sehaluan dengan Perdana Menteri. Ini boleh diterjemah dalam beberapa situasi pengaplikasian prinsip tanggungjawab bersama.

Pertama, konsensus atau unanimity. Setiap dasar atau keputusan yang dibuat kabinet hendaklah dipersetujui sebulat suara. Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri hendaklah mengeluarkan kenyataan seragam seperti dipersetujui dalam mesyuarat jemaah menteri dan mestilah tampak bersatu dalam bentuk kenyataan umum. Jika terdapat mana-mana menteri tidak bersetuju, menteri tersebut perlu pilih untuk senyap atau letak jawatan atau merekodkan tidak bersetuju dalam minit mesyuarat kabinet namun tidak menyatakan tidak bersetuju secara umum.

            Situasi terkini yang boleh dijadikan contoh ialah ketidakseragaman dalam pengumuman polisi kerajaan terutamanya polisi kerajaan dalam menangani wabak covid-19. Misalnya, isu penutupan kilang yang dipercayai punca terbesar kepada peningkatan kes jangkitan harian covid-19 melalui kluster tempat kerja. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan serta meningkatkan lagi kelulusan membenarkan kilang beroperasi walaupun kes jangkitan meningkat. Akan tetapi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dalam satu hantarannya di Facebook mengatakan bahawa beliau sudah tutup pintu depan, namun ada pihak lain yang membuka pintu belakang membenarkan kilang terus beroperasi. Disini, umum mengerti dan boleh menilai bahawa dasar dan keputusan kerajaan melalui kementerian masing-masing tidak selaras. Persoalan yang timbul ialah apakah dasar kerajaan yang sebenar yang diputuskan secara kolektif dalam mesyuarat jemaah menteri? Timbulnya kepincangan dan ketidakseragaman polisi atau dasar disebabkan eksekutif tidak memahami atau mengabaikan prinsip tanggungjawab bersama. Hal ini kerana, jika setiap jemaah menteri yang mengetuai sesuatu kementerian faham tanggungjawab ini, mereka akan sebulat suara dalam memastikan dasar yang diputuskan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

            Kedua, konvensyen ini atau prinsip tanggungjawab bersama ini penting dalam menjamin keyakinan jemaah menteri dan juga ahli dewan rakyat ke atas Perdana Menteri. Hal ini kerana, jika Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan gagal mengawal jemaah menteri dan tidak mempunyai kekuatan mempengaruhi jemaah menteri dalam membuat keputusan sebulat suara, Perdana Menteri tersebut boleh dikatakan hilang sokongan majoriti untuk kekal memerintah. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri. Secara moralnya, Perdana Menteri yang hilang sokongan itu tidak akan sewenangnya meletakkan jawatan maka secara alternatifnya, Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berhak menolak nasihat pembubaran Parlimen sebelum tarikh matang pembubaran selaras dengan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

            Ini boleh dilihat dalam kedudukan Perdana Menteri Malaysia kini berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama. Parti politik komponen kerajaan menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri dan ia bermakna jemaah menteri daripada parti itu hendaklah menarik sokongan ke atas Perdana Menteri. Oleh itu, Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti untuk terus memerintah. Ia berikutan kegagalan Perdana Menteri mengekalkan pengaruh dalam kalangan jemaah menteri serta kelemahan dasar yang dirangka kerajaan diketuainya. Dari sudut pandang lain, parti yang menarik diri dari menyokong Perdana Menteri itu mungkin bertindak selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama dimana jika tidak bersetuju dengan dasar kerajaan yang diputuskan, menteri itu perlu meletak jawatan. Walaubagaimanapun, secara moralnya, sehingga kini tiada menteri dari parti politik itu meletakkan jawatannya dalam jemaah menteri malah dinaikkan pangkat dalam jemaah menteri.

Ketiga, prinsip tanggungjawab bersama terpakai ke atas seluruh jemaah menteri terhadap segala nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong. Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak meminta untuk mendapatkan apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri. Contoh situasi yang boleh menggambarkan pengaplikasian ini ialah pengisytiharan darurat yang diisytiharkan bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021. Walaubagaimanapun, dalam sidang khas Parlimen baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Takiyuddin Hassan menggemparkan sidang Parlimen bahawa darurat sudah ditamatkan pada 21 Julai 2021 iaitu sebelum 1 Ogos 2021. Terdapat pelbagai persoalan penting dalam soal penamatan darurat itu misalnya adakah penamatan itu dibuat secara tiba-tiba di Parlimen selepas diasak atau kerajaan telah melalui proses undang-undang secara tertib dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat. Jika dirujuk kepada perkataan “berpuas hati” yang terkandung dalam Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai proklamasi darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh dikatakan mengisytiharkan darurat selepas berpuas hati dengan penerangan Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri mengenai kepentingan darurat dalam krisis. Ia mungkin boleh diguna pakai dalam soal ingin menamatkan darurat.

            Ia lebih mengejutkan lagi apabila pada 29 Julai 2021, Istana Negara telah menyiarkan kedukacitaan Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan yang bersikap gopoh dan tidak beradab dalam isu darurat. Hal ini kerana, kerajaan telah membelakangkan Yang di-Pertuan Agong dalam menamatkan darurat yang merupakan kuasa prerogatif Baginda. Ini bermakna kerajaan dan Jemaah Menteri tidak bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat berkenaan pemerintahan persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika kerajaan tidak tertib dalam soal penamatan darurat ini, setiap ahli Jemaah Menteri adalah liabiliti kepada rekod buruk kerajaan. Mengikut konvensyen tanggungjawab bersama, Jemaah Menteri mestilah bersama-sama bertanggungjawab terhadap nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika tidak dinasihatkan dan hanya menjaja nama Yang di-Pertuan Agong, kerajaan ini tidak bertanggungjawab dan menteri terlibat atau Perdana Menteri perlulah meletak jawatan. Kesannya, jika Perdana Menteri meletak jawatan, maka seluruh kabinet terbubar.

Dengan itu, prinsip tanggungjawab bersama ini penting bagi mewujudkan kerajaan yang efisien, bertanggungjawab dan bagi membentuk kerajaan terkawal atau controlled government. Walaubagaimanapun, pengaplikasian ini ditentukan oleh kekuatan Parlimen. Jika Parlimen digantung seperti beberapa bulan lalu, prinsip ini terabai dan kerajaan akan gagal menunaikan tanggungjawab mereka. Selepas itu, prinsip semak dan imbang tidak dapat dilaksanakan bagi memastikan setiap tindakan kerajaan atau menteri kabinet termasuk Perdana Menteri dipersoal dan dijawab di Parlimen bagi memastikan ketelusan pemerintahan. Hal ini kerana, setiap kementerian bertanggungjawab membentangkan, dipersoal dan menjawab segala dasar kementeriannya termasuk isu-isu berkaitan penjawat awam di bawah kementeriannya di Parlimen. Tugas Yang Berhormat atau ahli parlimen di Parlimen lebih besar daripada tugas-tugas menghantar beras dan membersihkan longkang di kawasan mereka. Jika sebelum memerintah bergantung kepada rakyat untuk memilihnya sebagai wakil rakyat dengan menyajikan pelbagai janji, selepas menang pilihanraya, tanggungjawab bersama inilah yang boleh mengikat wakil rakyat dengan pelbagai dasar yang mesti dirangka untuk rakyat yang memilih. Tanggungjawab bersama ini boleh menjamin hak rakyat yang memilih untuk mendapatkan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

            Akhirnya, prinsip tanggungjawab bersama ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(3). Ia adalah peraturan yang mesti dipatuhi, namun, kesan melanggarnya kepada undang-undang tidaklah seberapa terkesan malah kesan melanggar prinsip ini boleh mencetuskan kekacauan politik yang ekstrem yang boleh menggugat Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, prinsip ini amat penting bagi memastikan kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan juga untuk menjaga sosial masyarakat. Penggantungan Parlimen beberapa bulan lalu telah mengabaikan prinsip ini dan juga Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri telah mengabaikan taggungjawab mereka di Parlimen. Jika Parlimen diabai, tanggungjawab terlalai, kebajikan rakyat terabai.


Birr Zamier ialah seorang graduan jurusan perundangan dan juga kolumnis tetap Demuda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *